AMP Singapura akan kendalikan program ARIF, jadi sebahagian daripada Bersamamu mulai Jun 2026
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Mulai Jun 2026, Projek ARIF(Achieving Resilient and Inspiring Families) akan dikendalikan oleh AMP Singapura.
Program itu juga akan dikenali sebagai ARIF dan menjadi komponen tetap dalam ekosistem Bersamamu.
Ini bagi mempertingkat sokongan kepada pasangan sepanjang pelbagai fasa kehidupan keluarga, daripada sebelum melangkah ke alam rumah tangga hingga bersedia menimang cahaya mata dan melalui fasa keibubapaan.
Langkah itu sejajar dengan usaha peluasan M³+ untuk menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh dan bersepadu dalam menangani keperluan keluarga yang kian berkembang.
Diperkenalkan pada September 2020, ARIF - yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Arif Yayasan Temasek - merupakan satu wadah yang menggabungkan bimbingan agama, kepakaran perubatan dan sokongan sosial bagi membantu pasangan mengharungi peralihan penting dalam kehidupan mereka.
Pengumuman tersebut dibuat Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim di Majlis Penghargaan ARIF dan Pelancaran Bab Baharu ARIF yang berlangsung di Masjid Yusof Ishak pada Ahad (10 Mei).
"Dengan menyepadukan Projek ARIF ke dalam ekosistem Bersamamu yang diperluas, sokongan dapat disediakan lebih awal, secara berterusan dan lebih mudah diakses oleh pasangan.
Penyepaduan ARIF dalam ekosistem Bersamamu sebelum ini diumumkan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) pada Mac 2026.
Ditanya mengenai bidang tumpuan utama AMP dalam mengendalikan program ARIF, Pengerusi AMP, Fathurrahman Dawoed menekankan keupayaan AMP untuk terus peka terhadap keperluan masyarakat yang berubah.
Menurut beliau, usaha itu akan dilaksanakan melalui cabang kajian AMP iaitu Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA).
Dari segi menyediakan bimbingan rohani bagi pasangan, AMP akan terus menjalankan kerjasama dengan masjid serta naib kadi, bersama MUIS, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Orang Islam (ROMM).
Di samping itu, Hospital Wanita dan Kanak-kanak (KKH) akan terus memainkan peranan sebagai rakan utama dengan menyediakan kepakaran dalam kesihatan ibu dan anak, serta menyokong pembangunan program berasaskan bukti.
MASYARAKAT PELBAGAI PERINGKAT KEHIDUPAN KELUARGA RAIH MANFAAT DARIPADA PROJEK ARIF SEJAK DIPERKENALKAN
Sejak diperkenalkan pada 2020, lebih 12,000 individu telah meraih manfaat daripada ceramah pendidikan awam, yang dikendalikan di bawah Projek Arif.
Lebih 120 petugas, yang merangkumi Kadi, Naib Kadi dan kakitangan masjid, diperkasa dengan kemahiran oleh karyawan penjagaan kesihatan KKH bagi memperkukuh sokongan kepada pasangan melayari peralihan penting kehidupan mereka.
Selain itu, seramai 200 bayi meraih manfaat dengan kira-kira separuh terlibat dalam program kajian yang sedang dijalankan.
Program tersebut menumpukan kepada petunjuk awal utama seperti imunisasi dan penyusuan sus ibu, bagi memahami bagaimana sokongan awal dapat mempersiapkan ibu bapa serta memberi kanak-kanak permulaan hidup yang terbaik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.