AMP lantik Zhulkarnain Abdul Rahim sebagai Pengerusi baru
Angkatan Karyawan Islam (AMP) melantik Encik Zhulkarnain Abdul Rahim sebagai pengerusi baru Lembaga Pengarahnya, berkuat kuasa hari ini (25 Jan).

(Gambar: AMP)
SINGAPURA: Angkatan Karyawan Islam (AMP) melantik Encik Zhulkarnain Abdul Rahim sebagai pengerusi baru Lembaga Pengarahnya, berkuat kuasa hari ini (25 Jan).
Encik Zhulkarnain, 38, seorang peguam, merupakan pengerusi paling muda yang pernah dilantik sejak AMP ditubuhkan pada 1991.
Beliau yang merupakan seorang rakan kongsi firma guaman Dentons Rodyk & Davidson dilantik sebagai pengarah Lembaga AMP sejak 2014 dan kemudian sebagai Naib Pengerusi pada Disember 2015.
Encik Zhulkarnain menggantikan Encik Abdul Hamid Abdullah, yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah AMP hari ini (25 Jan).
Mengulas mengenai pelantikannya, Encik Zhulkarnain berkata: "Saya berbesar hati menerima tanggungjawab ini dan akan bekerjasama dengan anggota lembaga yang lain serta rakan-rakan kami untuk melakarkan strategi baru bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, serta memanfaatkan peluang-peluang sedia ada dalam landskap baru untuk memacu masyarakat ke hadapan."
Pelantikan itu bertepatan dengan persediaan menjelang Konvensyen Nasional Karyawan Melayu/Islam Singapura Keempat, yang akan diterajui oleh Encik Zhulkarnain selaku Pengerusi Jawatankuasa Peneraju.
Konvensyen yang diadakan setiap 10 hingga 12 tahun itu membentangkan perancangan masa hadapan dan bermatlamat menyediakan wadah bagi para akademik dan karyawan untuk berhimpun dan membincangkan isu-isu yang bukan sahaja dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam, tetapi juga rakyat Singapura secara umumnya. Konvensyen Keempat itu dijangka diadakan pada 2022.
Encik Abdul Hamid Abdullah akan terus menyandang jawatan sebagai pengarah AMP sehingga tempoh perkhidmatannya selama enam tahun tamat di Mesyuarat Agung Tahunan AMP selanjutnya pada Disember tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.