AMP lanjutkan program bantu pesalah Melayu/Islam DRC kepada 3 tahun selepas dibebaskan
Program pembangunan AMP untuk membantu pesalah Melayu/Islam di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) kembali ke pangkuan masyarakat dilanjutkan kepada tiga tahun selepas mereka dibebaskan, berbanding setahun sekarang ini.
SINGAPURA: Program pembangunan AMP untuk membantu pesalah Melayu/Islam di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) kembali ke pangkuan masyarakat dilanjutkan kepada tiga tahun selepas mereka dibebaskan, berbanding setahun sekarang ini.
Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP) AMP yang dikendalikan dengan kerjasama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) itu dirintis pada Mac 2017. Ia kini menawarkan sokongan tambahan kepada lebih 1,200 penghuni dan keluarga mereka di bawah unit Khidmat Keluarga AMP.
PROGRAM AMP BANTU "HAIKAL" MUHASABAH DIRI
Tiga bulan sudah berlalu sejak Haikal (bukan nama sebenar) dimasukkan ke DRC buat kali pertama kerana menyalahgunakan dadah 'Ice'.
Beliau masih berasa hampa dan marah terhadap dirinya kerana mengabaikan isteri dan empat orang anaknya.
Dengan sokongan program yang ditawarkan AMP dan SPS, bapa berusia 25 tahun itu berpeluang muhasabah diri dan bertekad merubah haluan hidup keluarganya.
"Saya rasa saya pentingkan diri sendiri, dengan membuat benda seperti ambil dadah. Bila kandungan mengenai keluarga itu keluar, saya rasa sebak kerana ia beri saya kesedaran.
"Bila saya keluar, saya tahu apa yang patut saya buat, apa yang patut saya beri balik kepada keluarga saya," luah Haikal.
PAMER KESUNGGUHAN AMP BERI BANTUAN TERTUMPU
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin turut berasa terkesan mendengar kisah-kisah pesalah, berbesar hati dengan manfaat yang diperolehi pesalah serta keluarga mereka di bawah Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP).
"Ini menunjukkan kesungguhan AMP melakukan tugas melebihi apa yang kita tetapkan tetapi dengan sepenuh hati.
"Ia turut menunjukkan pertubuhan Melayu mampu dan berupaya memberi pertolongan yang tertumpu dan menyeluruh kepada para pesalah bentan dan keluarga mereka," kata Encik Amrin.
AMP TAWAR SOKONGAN MENYELURUH
Lebih 250 pesalah bersama 700 anggota keluarga mereka sudah dibantu DRP sejak ia dirintis dua tahun lalu.
Mulai Januari lalu, pesalah dibantu sehingga tempoh tiga tahun selepas dibebaskan berbanding setahun sekarang.
Penghuni DRC di bawah program yang dikendalikan di bawah unit Khidmat Keluarga AMP itu dibantu daripada mereka mula dipenjarakan dan menerima sokongan menyeluruh dari segi bantuan kewangan, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan sosio pendidikan.
DRP mempunyai tiga komponen yang terdiri daripada program pembangunan peribadi, program sokongan keluarga dan perkhidmatan pengurusan kes
Ini memandangkan 69 peratus pesalah di bawah program itu mempunyai anak.
MELIPUTI KEMAHIRAN BEKERJA, PENDIDIKAN ANAK-ANAK
Malah pegawai kes AMP, Encik Mohammad Faizal M Nor berkata para pesalah di bawah program ini juga lebih yakin untuk menghadapi cabaran dan turut mengambil sokongan keluarga sebagai iktibar.
"Inisiatif ini meliputi aspek seperti kemahiran bekerja, pendidikan untuk anak-anak dan skim-skim ini dapat membantu mereka dalam jangka panjang kerana ia juga memberi mereka satu peluang untuk berdikari dan juga memanfaatkan kemahiran mereka untuk akan datang," kata Encik Faizal.
Program DRP bermula dengan 23 penghuni yang dibantu pada Mac 2017.
Setakat sehingga 2019, 258 penghuni DRC dan 977 anggota keluarga mereka menerima bantuan AMP di bawah program tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.