AMP lancar rangkaian mentor karyawan guaman Muslim; perkasa pelajar ceburi bidang undang-undang
Encik Rizuan Yasin, Pengarah Urusan Emerald Law LLC, beramah mesra dengan para hadirin. Beliau mengasaskan sebuah rangkaian mentor terdiri daripada karyawan peguam (MLMN). (Gambar: AMP)
Seramai 11 mentor dan 32 menti menyertai rangkaian tersebut.
Mereka termasuk Encik Rizuan Yasin, Pengarah Urusan Emerald Law LLC dan Anggota Lembaga AMP, Encik Zamiq Azmeer (Peguam Komersil – APAC, Energy Exemplar), Encik Ezra Bunyamin (Pengarah Urusan, Deansgate Barakah Law Corporation) dan Encik Kamal Ashraf (Mahasiswa, Fakulti Undang-undang NUS).
Menerusi inisiatif tersebut, para peserta diberi peluang mengetahui cabang-cabang berbeza dalam industri undang-undang itu sendiri.
Misalnya, mereka dapat meraih manfaat daripada perkongsian karyawan mengenai baik buruknya bekerja dalam firma yang lebih besar berbanding syarikat guaman lebih kecil.
Selain itu, faktor-faktor penting yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan bidang kepakaran masing-masing.
MLMN juga mahu membantu menti meneroka pelbagai laluan kerjaya dalam industri undang-undang.
Bagi Cik Azalea Syazwany Mohamad Khair, seorang peguam, beliau terpanggil untuk menjadi mentor disebabkan pengalamannya, ketika menuntut di sekolah tanpa sebarang bimbingan dari mana-mana pihak.
Setuju dengan pandangan itu, Radin Aqilah Radin Shaharuddin, seorang menti menyifatkan wadah MLMN sebagai peluang yang baik untuknya meneroka bidang undang-undang.
Ini lebih-lebih lagi memandangkan pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu telah menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di menara gading kelak setelah tamat pengajian pra-universitinya.
"Menjadi sebahagian daripada acara pelancaran tersebut membenarkan saya untuk mempelajari lebih mendalam tentang isu-isu yang muncul dalam landskap undang-undang Muslim di Singapura dan rangkaian dengan individu-individu yang mempunyai pemikiran sama," kata pelajar berusia 17 tahun itu.
Penubuhan MLMN turut dialu-alukan oleh Pengerusi AMP Singapore, Encik Fathurrahman Dawoed.
"Saya gembira sekali melihat para karyawan dalam masyarakat kami berhimpun untuk menyokong mereka yang baru saja memulakan kerjaya mereka. Inisiatif seperti rangkaian mentor ini memaparkan semangat menyumbang semula.
"Di AMP, kami percaya dalam menggerakkan karyawan demi tujuan murni masyarakat dan negara kami. Menyokong inisiatif 'ground-up' sedemikian, menepati misi kami untuk menyemai kepimpinan dan memperkasa masyarakat menerusi usaha pendampingan yang bermakna," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.