Skip to main content

Singapura

AMP lancar kursus temu duga berasaskan AI, tawar 1,000 tempat percuma

Anggaran Waktu Membaca:
AMP lancar kursus temu duga berasaskan AI, tawar 1,000 tempat percuma

(Gambar: Aqil Ezat)

Diterbitkan : 31 Oct 2026 05:45PM Dikemas Kini : 31 Oct 2026 05:46PM
AMP launches AI-based interview course, offers 1,000 free places
  • As AI and corporate restructuring pose various challenges for job seekers, AMP Singapore and Alethia AI launched an AI-based interview course on Oct 31 at Marina Bay Sands.
  • The course draws on human resources expert Lutfi Ghani’s expertise, including his experience conducting more than 2,500 interviews and hiring more than 500 people, to provide content tailored to the needs of the local community.
  • Participants test their understanding through quizzes and simulations with an AI hiring manager that assesses their use of the course techniques; several AI agents also automatically generate videos.
  • AMP is offering 1,000 free places to school leavers, people who have been laid off and those seeking new opportunities, in line with the summit’s focus on AI’s impact on careers and hiring.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sedang penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) menjadi semakin meluas dan syarikat-syarikat menjalani penyusunan semula, landskap pekerjaan di Singapura turut mengalami perubahan.

Perubahan tersebut menimbulkan pelbagai cabaran kepada golongan pencari kerja, seperti peningkatan dalam jangkaan majikan, kriteria pengambilan kerja serta tuntutan lebih tinggi untuk menyesuaikan diri dalam pekerjaan.

Untuk membantu golongan tersebut, AMP Singapura melancarkan 'Ace Your Interview with AI' sempena Sidang Puncak Karyawan Muslim pada Sabtu (31 Okt) di Marina Bay Sands.

Kursus penyediaan temu duga berasaskan AI itu dihasilkan dengan kerjasama AMP dan Alethia AI.

Ia menampilkan bahan pembelajaran yang dijana AI, menggunakan imej dan penampilan seorang pakar kanan sumber manusia (HR), Encik Lutfi Ghani.

Pengalaman Encik Lutfi, yang sudah mengendalikan lebih 2,500 temu duga dan mengambil kerja lebih 500 pekerja juga diterapkan dalam kandungan kursus tersebut.

Melalui pendekatan itu, pencari kerja boleh memanfaatkan kepakarannya dalam membuat persiapan untuk temu duga.

Mereka juga akan menjalani simulasi temu duga bersama pengurus pengambilan kerja AI, sekali gus memberi peserta peluang untuk berlatih sebelum temu duga sebenar bersama bakal majikan.

KANDUNGAN DISESUAIKAN DENGAN KEPERLUAN MASYARAKAT TEMPATAN

Menurut Naib Presiden Alethia AI, Ibrahim Musa, kursus penyediaan temu duga sedia ada bersifat generik, dan sebahagian dibangunkan di dunia Barat yang tidak mengambil berat keperluan masyarakat tempatan.

"Modul pembelajaran sangat relevan untuk masyarakat kita, berdasarkan apa yang mereka lalui serta pengalaman pakar kanan sumber manusia daripada masyarakat kita," katanya.

Menurutnya, peserta akan diuji menerusi kuiz ringkas untuk menguji tahap pemahaman mereka.

Apabila peserta menjalani sesi simulasi dengan pengurus pengambilan kerja AI, mereka akan dinilai berdasarkan jawapan yang diberi.

“Apabila peserta memberi jawapan, sistem AI akan menilai sama ada mereka telah menggunakan teknik dan rangka kerja yang diajar dalam modul pembelajaran dengan berkesan," jelas Encik Ibrahim.

Menariknya, teknologi AI bukan sahaja digunakan untuk melatih peserta, malah memainkan peranan dalam pembangunan modul kursus.

Encik Ibrahim berkongsi bahawa beberapa ejen AI digunakan untuk menjalankan tugas berbeza.

"Sebagai contoh, kita mempunyai ejen AI yang meneliti transkrip pakar HR, satu lagi ejen AI akan bekerjasama dengan ejen AI lain untuk memastikan pergerakan mulut sepadan dengan suara, dan satu lagi ejen AI yang mengambil skrip itu dan menghasilkan video," ujarnya.

Kesemua proses itu dijalankan secara automatik tanpa perlu penyuntingan manual.

1,000 TEMPAT PERCUMA DITAWARKAN KEPADA PENCARI KERJA

Sebagai permulaan, sebanyak 1,000 tempat akan ditawarkan secara percuma untuk pencari kerja.

Menurut Pengerusi Eksekutif AMP, Mokhsin Mohd Rashid, tiga golongan utama dikenal pasti sebagai sasaran kursus tersebut.

"Golongan pertama ialah golongan yang telah tamat pengajian di sekolah, golongan kedua ialah individu yang diberhentikan kerja dan golongan ketiga ialah individu yang hendak mencari peluang baharu walaupun sedang bekerja," kongsinya.

Encik Mokhsin turut mengalu-alukan inisiatif ini, yang menurutnya dapat memberikan respons yang lebih tepat bagaimana individu dapat memahami dan menguatkan lagi latihan mereka apabila mereka menghadiri temu duga.

Pada masa yang sama, sidang puncak dianjurkan AMP bertemakan "Masa Depan Pekerjaan: Mengharungi Kerjaya dalam Era AI" turut memberi tumpuan kepada masa depan pekerjaan dan bagaimana AI sedang membentuk industri, perjalanan kerjaya dan amalan pengambilan kerja.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita