Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AMP, DPPMS lancar program baru pertingkat perniagaan mikro, pendaftaran dibuka

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anda yang memiliki perniagaan kecil dan sudah beroperasi selama tiga hingga lima tahun, ini peluang keemasan untuk meningkatkan keupayaan perniagaan anda agar boleh terus berkembang.  

AMP Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengumumkan kerjasama baru, Program Pertengahan (Intermediate) AMP x DPPMS pada Jumaat (20 Mei) untuk menyokong pembelajaran dan perkembangan perniagaan-perniagaan mikro anda.

Bagi tujuan itu ia memanfaatkan rangkaian luas pelatih Akademi DPPMS dan sumber-sumber yang ada dalam kalangan masyarakat perniagaan Melayu/Islam, menurut AMP dan DPPMS dalam satu kenyataan bersama. 

“Dengan rekod prestasi lebih 16 tahun dalam mempertingkatkan lebih dari 600 perniagaan dari rumah melalui Program Niaga Mikro AMP, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan DPPMS sekali lagi untuk menyediakan program baru ini,"kata Encik Mokhsin Rashid, Pengarah Eksekutif AMP.  

"Kerjasama penting ini membolehkan kami memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menyokong aspirasi perniagaan dari rumah dan memberikan mereka bantuan yang diperlukan dalam peningkatan kemahiran dan perkembangan mereka." 

Tambah Encik Mohsin, AMP komited untuk menyokong pemilik niaga mikro Melayu/Islam dalam mempertingkatkan keupayaan serta perniagaan mereka dalam jangka masa panjang.

"Kami harap ini akan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat kita secara keseluruhannya,"ujar beliau lagi.

Program selama tiga bulan itu memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti identiti jenama, pendigitalan, ramalan kewangan dan analisis untuk meningkatkan daya penghasilan perniagaan mereka. 

Di akhir program tersebut, peserta akan menyediakan pelan pemasaran dan kewangan perniagaan mereka untuk diberikan kepada sebuah panel penasihat. 

Mereka juga akan diberi peluang untuk mengendalikan gerai di pasaran untuk menimba pengalaman dalam menjual produk mereka dan berinteraksi dengan pelanggan, menurut AMP dan DPPMS. 

“DPPMS sentiasa menjadi penyokong kuat ekosistem perniagaan mikro dan kami percaya bahawa ini adalah langkah seterusnya dalam membangunkan keupayaan perniagaan mikro kami," kata Presiden DPPMS, Encik Farid Khan. 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan AMP untuk terus menyokong masyarakat ini." 

Program tersebut turut dibuka kepada mereka yang sudah lulus Program Niaga Mikro AMP. 

Yuran sebanyak S$450 dikenakan bagi peserta.

Pendaftaran dibuka sehingga 27 Mei 2022. 

Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi bit.ly/IPMB2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan