Skip to main content

Singapura

Amos Yee ditawar ikat jamin S$10,000 selepas selesai siasatan awal

Amos Yee Pang Sang ditawarkan ikat jamin sebanyak S$10,000 pada Khamis (26 Mac) selepas siasatan awal selesai dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:
Amos Yee ditawar ikat jamin S$10,000 selepas selesai siasatan awal

Amos Yee dihadapkan semula ke Mahkamah Negara pada 26 Mac 2026. (Gambar: Jabatan Pemulihan Illinois, CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 26 Mar 2026 01:51PM Dikemas Kini : 26 Mar 2026 01:52PM
  • Amos Yee Pang Sang dihadapkan ke Mahkamah Negara Singapura pada 26 Mac atas tuduhan berkaitan Perkhidmatan Negara selepas diekstradisi dari Amerika Syarikat.
  • Pihak pendakwa, diwakili Tay Jia En, mengusulkan ikat jamin S$10,000 dengan beberapa syarat, sementara Yee mempertimbangkan sama ada akan mengaku bersalah.
  • Yee didakwa gagal hadir pemeriksaan perubatan NS selama lebih sembilan tahun dan meninggalkan Singapura tanpa permit sah dalam dua tempoh berasingan.
  • Beliau mempunyai sejarah pelanggaran undang-undang di Singapura dan Amerika Syarikat, termasuk hukuman penjara dan pelanggaran syarat parol sebelum diekstradisi semula ke Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Amos Yee Pang Sang ditawarkan ikat jamin sebanyak S$10,000 pada Khamis (26 Mac) selepas siasatan awal selesai dijalankan.

Yee, 27 tahun, dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama sejak dia didakwa atas kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perkhidmatan Negara kira-kira seminggu lalu.

Dia hadir melalui pautan video di Mahkamah Negara memakai kemeja putih dan berambut panjang.

Pihak pendakwa, diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Tay Jia En mengusulkan agar Yee ditawarkan ikat jamin bersama dengan beberapa syarat.

Apabila ditanya sama ada dia merancang untuk mengaku bersalah, Yee berkata dia ingin memikirkan perkara itu.

Yee diberkas oleh para pegawai dari Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) di Lapangan Terbang Changi pada 20 Mac, selepas dia dihantar pulang dari Amerika Syarikat.

Dia didakwa di Mahkamah Negara pada hari yang sama dengan tiga tuduhan bersangkut paut dengan Perkhidmatan Negara (NS).

Tuduhan-tuduhan tersebut adalah kerana dia gagal hadir bagi pemeriksaan perubatan sebelum menjalani NS selama lebih sembilan tahun, dari 26 Apr 2016 hingga 19 Mac 2026.

Yee juga dituduh meninggalkan Singapura tanpa permit yang sah dalam dua tempoh berasingan.

Tempoh tersebut merangkumi dari 13 Dis 2015, hingga 19 Apr 2016, dan dari 15 Dis 2016 hingga 19 Mac 2026.

Yee meninggalkan Singapura ke Amerika Syarikat pada 2016 selepas beberapa kali melanggar undang-undang.

Pada 2015, Yee, yang berusia 16 tahun pada ketika itu, dipenjarakan di Singapura kerana mengguris perasaan penganut agama lain dengan membuat kenyataan tidak wajar terhadap penganut Kristian.

Dia dipenjarakan sekali lagi dan didenda kira-kira setahun kemudian kerana membuat kenyataan mengenai penganut Kristian dan Islam.

Yee diberikan perlindungan suaka oleh Amerika Syarikat pada 2017, tetapi melanggar undang-undang negara itu dengan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak bawah umur pada Oktober 2020.

Dia dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun selepas mengaku bersalah di Amerika Syarikat pada Disember 2021.

Ketika menjalani hukumannya, dia diberikan parol tetapi diberkas semula tidak lama kemudian kerana melanggar syarat parol.

Pada November tahun lalu, Yee ditahan oleh Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat selepas dia dibebaskan dengan parol dari Pusat Pemulihan Danville di Illinois.

Dia kemudian diekstradisi ke Singapura.

Di bawah Akta Pendaftaran Perkhidmatan Negara, sesiapa sahaja yang mengelakkan diri daripada menjalani Perkhidmatan Negara boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$10,000 jika disabit kesalahan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita