Skip to main content

Singapura

Amos Yee dipenjara lagi sebab langgar parol, mungkin dibebaskan pada 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Amos Yee dipenjara lagi sebab langgar parol, mungkin dibebaskan pada 2026

Amos Yee dibebaskan dengan parol. (Gambar: Jabatan Pembetulan Illinois)

Diterbitkan : 10 Nov 2023 05:01PM Dikemas Kini : 10 Nov 2023 05:02PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura Amos Yee dipenjara sekali lagi kerana dia melanggar syarat parol.

Demikian menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat pada Khamis (9 Nov), dengan rekod penjara menunjukkan dia mungkin dipenjara tiga tahun sebelum dibebaskan sekali lagi.

Yee ditahan di bawah Jabatan Pemulihan Illinois pada Selasa (7 Nov), menurut satu mesej daripada rangkaian makluman mangsa.

Menurut mesej tersebut, dia ditahan di Pusat Pemulihan Stateville, iaitu penjara dengan tahap keselamatan maksimum di Crest Hill, Illinois.

Yee, 25 tahun, dibebaskan dengan parol pada 7 Oktober lalu selepas menjalani separuh daripada hukuman penjara selama 6 tahun.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Jabatan Pemulihan tersebut menyatakan pada Khamis bahawa Yee ditahan semula kerana melanggar syarat parol.

"Itu sahaja maklumat yang boleh kami berikan," tambahnya.

Rekod penjara yang dilihat oleh Mediacorp menunjukkan bahawa tarikh parol Yee yang seterusnya adalah pada 8 Oktober 2026 - yang juga tarikh dia bakal dibebaskan sekali lagi.

Yee dibebaskan pada 7 Oktober, kira-kira separuh daripada hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan ke atasnya di Amerika Syarikat, atas kesalahan seksual terhadap seorang remaja perempuan di ruang maya dan meminta gambar bogel remaja berkenaan.

Jabatan Pemulihan Illinois bagaimanapun tidak mendedahkan syarat-syarat parol Yee, namun dia didaftarkan sebagai pesalah seks.

Yee dijatuhi hukuman pada 3 Disember 2021 setelah mengaku bersalah melakukan antun seksual dan memiliki bahan lucah.

Lagi 16 tuduhan yang dikemukakan bagi rayuan sudah ditolak. Tempoh penjara itu diundurkan kepada tarikh penangkapan Yee pada Oktober 2020.

Ini bukan kali pertama Yee menjalani hukuman penjara.

Pada 2015, dia dipenjara di Singapura kerana menyinggung perasaan masyarakat Kristian melalui kata-katanya.

Setahun kemudian, Yee dipenjara sekali lagi dan dikenakan denda atas kesalahan serupa, kali ini bagi kata-katanya terhadap masyarakat Kristian dan Muslim.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita