Skip to main content

Singapura

Amos Yee dikenakan tuduhan baharu berhubung komen tidak senonoh, galak ketidakharmonian kaum

Pengulas online Amos Yee Pang Sang pada Rabu (26 Ogos) dikenakan empat tuduhan baharu berkaitan catatan yang dibuatnya tahun ini berhubung kaum dan kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:
Amos Yee dikenakan tuduhan baharu berhubung komen tidak senonoh, galak ketidakharmonian kaum

Amos Yee tiba di Mahkamah Negara pada 26 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 10:48AM
  • Amos Yee, seorang pengulas online Singapura, kini menghadapi tujuh tuduhan termasuk empat tuduhan baharu berkaitan catatan mengenai kaum dan kanak-kanak.
  • Tuduhan melibatkan catatan blog pada April dan Jun serta video di X pada Mei yang didakwa menggalakkan ketidakharmonian kaum dan isu persetujuan kanak-kanak.
  • Yee juga didakwa mengelak Perkhidmatan Negara selepas diekstradisi dari Amerika Syarikat pada Mac, dan perbicaraan praperbicaraan dijadualkan pada 18 September.
  • Polis mengarahkan pemadaman kandungan tersebut, dan jika sabit kesalahan, Yee boleh dikenakan hukuman penjara atau denda mengikut jenis kesalahan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pengulas online Amos Yee Pang Sang pada Rabu (26 Ogos) dikenakan empat tuduhan baharu berkaitan catatan yang dibuatnya tahun ini berhubung kaum dan kanak-kanak.

Ini menjadikan jumlah tuduhan yang dihadapinya sebanyak tujuh, termasuk tiga tuduhan dipercayai mengelak daripada menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Warga Singapura berusia 27 tahun itu dituduh membuat dua catatan di blognya pada April dan memuat naik sebuah video di X pada Mei, yang mengandungi ulasannya mengenai dakwaan diskriminasi kaum di Singapura.

Dalam satu catatan di blognya pada lewat Jun, Yee dipercayai menulis bahawa kanak-kanak mampu memberikan persetujuan untuk melakukan perbuatan seksual dan menggesa agar undang-undang yang menetapkan usia seseorang kanak-kanak sebelum dia boleh memberikan persetujuan bagi perbuatan sedemikian dimansuhkan.

X menurunkan video tersebut selepas polis mengeluarkan arahan supaya ia berbuat demikian. Polis turut mengarahkan Yee supaya memadamkan catatan-catatan tersebut daripada blognya.

Yee pada awalnya didakwa atas kesalahan berkaitan pendaftaran NS selepas diekstradisi ke Singapura dari Amerika Syarikat pada Mac.

Dia dijadual mengaku bersalah terhadap tuduhan berkaitan NS pada September. Namun, perbicaraan tersebut dibatalkan pada Rabu dan dijadualkan semula bagi persidangan praperbicaraan pada 18 September.

Yee, yang aktif online sejak kembali ke Singapura, diwakili peguam Divanan Narkunan.

Mereka yang mengelak daripada menjalani NS boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap tuduhan.

Atas kesalahan menggalakkan ketidakharmonian kaum, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan berkomunikasi secara tidak senonoh yang berkemungkinan menimbulkan kebimbangan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan, pesalah boleh didenda sehingga S$5,000.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita