Amos Yee dihukum penjara 6 tahun di AS atas kesalahan antun seksual, miliki bahan lucah
Rakyat Singapura, Amos Yee dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat setelah dia mengaku bersalah melakukan antun seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun secara online dan meminta gambar telanjang remaja itu.
(Gambar: Pejabat Sherif Cook County)
SINGAPURA: Rakyat Singapura, Amos Yee dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat setelah dia mengaku bersalah melakukan antun seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun secara online dan meminta gambar telanjang remaja itu.
Yee, 23 tahun, mengaku bersalah pada awal pagi Jumaat (3 Dis) atas tuduhan melakukan antun seksual kanak-kanak dan memiliki bahan lucah kanak-kanak.
Mahkamah di Illinois diberitahu bahawa Yee berkenalan dengan mangsa, seorang remaja perempuan yang berusia 14 tahun pada Februari 2019 semasa dia menetap di Cook County. Yee berusia 20 tahun pada ketika itu.
Yee berkenalan dengan mangsa secara online dan mereka "menjalin hubungan dalam talian", di mana Yee "berkali-kali meminta" mangsa menghantar gambar bogelnya.
Selain itu, Yee juga berkali-kali menyuruh mangsa melakukan aksi seksual, menurut seorang pendakwa khas. Yee berbuat demikian walaupun mangsa memberitahunya bahawa dia berusia 14 tahun ketika itu.
Ini berterusan sehingga Julai 2019, mahkamah diberitahu.
"Anda menggunakan Internet, khususnya WhatsApp... untuk menggoda, memperdaya dan mengumpan (mangsa) dan kemudian anda menyebarkan gambar-gambarnya di sebuah laman web," kata Hakim Carol Howard.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Yee sebelum ini diberkas oleh polis Amerika pada Oktober 2020 di apartmennya di kejiranan Norwood Park East di Chicago.
Yee ditahan reman di Amerika sejak diberkas dan dia didakwa pada tahun lalu.
Yee menghadiri perbicaraan mahkamah pada Jumaat melalui pautan video dan hanya bercakap untuk menggugurkan haknya bagi perbicaraan juri dan mengaku bersalah terhadap kesemua tuduhan setelah bersetuju dengan pihak pendakwa ntuk mengaku bersalah.
Hakim Howard memberitahu Yee bahawa dia mungkin akan dihantar pulang ke Singapura dan diharamkan daripada memasuki Amerika pada masa akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.