Skip to main content

Singapura

Amos Yee akan didakwa berkaitan kandungan online yang galakkan perpecahan kaum

Anggaran Waktu Membaca:
Amos Yee akan didakwa berkaitan kandungan online yang galakkan perpecahan kaum

Amos Yee Pang Sang di Mahkamah Negara pada 23 April 2026. (Gambar fail: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 25 Aug 2026 09:04PM
  • Amos Yee, 27 tahun, akan didakwa di Singapura atas kandungan online yang mencetuskan perpecahan kaum dan komunikasi tidak senonoh, selepas polis menerima laporan antara April hingga Julai.
  • Beliau didapati membuat catatan blog dan video yang mendakwa diskriminasi terhadap masyarakat Melayu-Islam dan India, serta menyokong pemansuhan undang-undang berkaitan usia persetujuan seksual kanak-kanak.
  • Yee turut berdepan tuduhan gagal melapor diri untuk Perkhidmatan Negara dan meninggalkan Singapura tanpa permit sah dalam beberapa tempoh sejak 2015.
  • Sebelum ini, Yee dihukum penjara di Amerika Syarikat atas kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak dan dihantar pulang ke Singapura pada Mac tahun ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Amos Yee akan didakwa pada Rabu (26 Ogos) berkaitan kandungan “membimbangkan dan mencetuskan perpecahan kaum” yang didakwa diterbitkannya online.

Polis menyatakan pada Selasa bahawa pihaknya menerima beberapa laporan antara April hingga Julai tahun ini berhubung kandungan online yang diterbitkan Yee.

Kandungan itu didapati “membimbangkan serta mencetuskan perpecahan kaum”, dan siasatan kemudiannya dijalankan.

Yee, 27 tahun, didapati membuat dua catatan di blognya pada 7 dan 11 April. Dia turut memuat naik video di X pada 27 Mei, yang menyatakan masyarakat Melayu-Islam dan India di Singapura didiskriminasi secara ketara oleh majoriti kaum Cina.

“Dia juga membuat kenyataan mengenai layanan pemerintah terhadap masyarakat tersebut dan mencadangkan supaya mereka membantah pemerintah,” tambah polis.

Dalam satu lagi catatan blog pada 30 Jun, Yee antara lain mendakwa kanak-kanak mampu memberikan persetujuan terhadap perbuatan seksual serta menyokong pemansuhan undang-undang berkaitan usia persetujuan seksual kanak-kanak, menurut polis.

“Ini selain tiga video lain yang dibuatnya dan didapati dimuat naik pada 2021, yang mengandungi kenyataan menyokong hubungan seksual melibatkan kanak-kanak serta pemansuhan undang-undang yang melarang bahan penderaan seksual kanak-kanak.”

Yee akan didakwa kerana dengan sengaja cuba menggalakkan, atas dasar kaum, perasaan tidak harmoni antara kumpulan kaum yang berbeza; serta kerana membuat komunikasi tidak senonoh yang berkemungkinan menyebabkan kegusaran.

Kesalahan itu masing-masing di bawah Seksyen 298A(a) Kanun Keseksaan 1871 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Perlindungan daripada Gangguan 2014 (POHA).

Kesalahan di bawah Seksyen 298A(a) boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) POHA pula boleh dijatuhi hukuman denda sehingga S$5,000.

Polis turut mengeluarkan arahan melumpuhkan di bawah Akta Bahaya Jenayah Online pada 18 Ogos supaya video di X diturunkan. X telah mematuhi arahan itu dan kandungan berkenaan tidak lagi tersedia.

"Polis mengambil pandangan serius terhadap tindakan yang mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura, dan terhadap komunikasi tidak senonoh, termasuk yang menyokong atau mempromosikan hubungan seksual yang melibatkan kanak-kanak.

"Mana-mana individu yang melakukan tindakan atau komunikasi sedemikian akan diambil tindakan dengan pantas dan tegas mengikut undang-undang."

Yee juga berdepan tuduhan berkaitan mengelakkan tanggungjawab Perkhidmatan Negara. Dia didakwa gagal melaporkan diri untuk pemeriksaan perubatan prapendaftaran selama lebih sembilan tahun, dari April 2016 hingga Mac 2026.

Dia turut dituduh meninggalkan Singapura tanpa permit keluar yang sah dalam dua tempoh, iaitu dari Disember 2015 hingga April 2016, dan dari Disember 2016 hingga Mac 2026.

Yee meninggalkan Singapura untuk ke Amerika Syarikat pada 2016 selepas dipenjarakan dua kali kerana membuat kenyataan mengenai penganut Kristian dan Islam.

Dia diberikan suaka oleh Amerika Syarikat pada 2017, tetapi kemudian didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan melakukan aktiviti memikat kanak-kanak.

Yee mengaku bersalah di Amerika Syarikat pada Disember 2021 dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Dia dibebaskan secara parol selepas menjalani sebahagian daripada hukuman itu, tetapi ditahan semula tidak lama kemudian kerana melanggar syarat parol.

Pada November tahun lalu, Yee ditahan oleh Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat selepas dibebaskan daripada parol dari Pusat Pemulihan Danville di Illinois.

Dia dihantar pulang ke Singapura pada Mac tahun ini.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita