Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amni Musfirah, Shazza antara artis yang akan buat persembahan di NDP 2024 buat pertama kali

Anggaran Waktu Membaca:
Amni Musfirah, Shazza antara artis yang akan buat persembahan di NDP 2024 buat pertama kali

Amni Musfirah (kiri) dan Shazza (kanan) antara artis yang akan buat persembahan di NDP 2024 buat pertama kali. (Gambar-gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini bakal menampilkan 12 artis dan seramai 3,000 peserta termasuk penari yang akan membuat persembahan sepanjang segmen pra perbarisan dan empat bahagian.

Ia juga termasuk para artis yang baru pertama kali membuat persembahan di pentas NDP tahun ini.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Antaranya ialah artis tanah air Amni Musfirah, yang akan mendendangkan lagu ‘Anggerik Singapura’ yang digubah oleh Zubir Said serta lagu NDP, 'Hold Up The Sky’.

TANGGUNGJAWAB BESAR NYANYIKAN LAGU GUBAHAN ZUBIR SAID

Bagi Amni, membuat persembahan bagi NDP sudah memang dalam "bucket list" atau impiannya sebagai seorang pemuzik.

Lantaran itu, artis berusia 29 tahun itu amat terharu dan bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk membuat persembahan bagi acara gah itu buat pertama kalinya di depan penonton yang ramai.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Amni rasa sangat bersyukur sekali kerana telah diberi peluang untuk menyanyikan lagu-lagu yang sangat bermakna untuk Amni kerana lagu Pak Zubir itu seperti doa untuk negara kita. Jadi Amni rasa tanggungjawab untuk menyanyikan lagu itu untuk pembukaan acara sangat-sangat berat tetapi insya-Allah, Amni akan membuat yang terbaik untuk NDP," kongsi Amni kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Pada Amni, lagu dan seni katanya itu seperti doa untuk Singapura dan Amni sangat kagum dengan visi Pak Zubir pada waktu itu, pada tahun 50an sehingga ke 60an, di mana beliau mempunyai keyakinan bahawa Singapura ini akan maju dan masyhur dan kita membawa mesej itu ke hari ini dengan lagu berjudul 'Hold Up The Sky' di mana doa itu juga akan kita jalankan lagi untuk generasi yang akan datang," tambah beliau.

Amni juga akan menyanyikan lagu 'Home' di NDP tahun ini.

AMNI TERHARU DIIKTIRAF BUAT PERSEMBAHAN DI PENTAS NDP

Gambar: Jawatankuasa NDP 2024

Ini merupakan antara persembahan terbesar pernah dijayakannya selain persembahan Sukan Olimpik Belia (YOG) pada 2010.

Lantaran itu, untuk artis yang sudah mula menyanyi sejak berusia 12 tahun lagi, Amni rasa terharu diberi peluang keemasan ini.

"Amni mula menyanyi semenjak berusia 12 tahun tetapi Amni percaya sangat dengan kerja keras dan juga membina rangkaian jadi Alhamdulillah, untuk NDP, ini ialah satu detik penting buat Amni dan pasukan Amni," jelas Amni.

"Kepada semua pemuzik, penyanyi dan semua yang ingin berada di pentas NDP, jangan putus asa, insya-Allah, anda semua akan ada kesempatan untuk berbakti kepada negara," tambahnya.

SHAZZA AKAN NYANYIKAN LAGU BAHASA TAMIL UNTUK NDP

Gambar: Jawatankuasa NDP 2024

Seorang lagi yang akan membuat persembahan buat julung-julung kalinya di NDP ialah Shazza, atau nama sebenar Shareefa Aminah.

Artis muda berusia 23 tahun itu, baru-baru ini tular dengan video yang dimuat naik pasangan penyanyi dari Kanada, Crash Adams, yang menampilkan Shazza mendedangkan versinya tersendiri bagi lagu 'Good Side'.

Selain menyanyikan lagu Inggeris, Shazza kali ini diberi cabaran untuk menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa Tamil di depan penonton yang ramai untuk NDP.

"Saya sebenarnya bukan fasih dalam bahasa Tamil tetapi saya seorang Muslim India jadi saya rasa saya tidak mempunyai peluang untuk menampilkannya kepada para penonton dalam persembahan-persembahan saya yang lain," kongsi Shazza.

"Memandangkan saya diberi peluang ini untuk menunjukkan identiti itu, saya ingin menyahut peluang itu tetapi ada cabaran juga sebab saya tidak fasih namun ia bukan sesuatu yang tidak boleh saya tangani kerana saya sedar jika saya ingin melakukan sesuatu dengan betul, saya hanya perlu bekerja keras dan mempelajarinya," tambah beliau.

Menurut Shazza, beliau mendapatkan bantuan ayahnya yang fasih dalam bahasa Tamil untuk membimbingnya dari segi sebutan.

"Saya amat gementar tetapi teruja juga untuk mempersembahkan lagu-lagu ini semua sebab ini semua lagu yang amat istimewa untuk orang lain dan juga untuk diri saya sendiri dan saya ingin lakukan sebaiknya bagi lagu-lagu itu," kongsi Shazza.

INGIN JADI INSPIRASI KEPADA PEMUZIK DAN PENYANYI TEMPATAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Shazza berharap penyertaan beliau dalam NDP dapat menjadi inspirasi kepada para pemuzik dan penyanyi tempatan lain dan memberikan pendedahan buat mereka.

"Saya harap penyertaan dalam NDP pada tahun ini akan memberikan mereka dalam dunia muzik, termasuk rakan pemuzik saya lebih pendedahan kerana pada pendapat saya, jika artis baharu dilihat sebagai sebahagian dalam NDP, orang ramai secara lazimnya akan tertanya-tanya siapa mereka dan ingin mengetahui apa yang berlaku di sebalik dunia muzik ini," kata Shazza.

"Saya harap ini akan memberi inspirasi kepada para rakan pemuzik saya dan mereka yang mempunyai minat untuk lakukan ini (buat persembahan di NDP) untuk mempunyai impian yang besar. Anda tidak perlu merendahkan-rendahkan impian anda kerana anda fikir anda tidak layak berada di pentas tertentu. Ini sesuatu yang semua boleh lakukan. Jadi saya ingin memberi inspirasi kepada penyanyi dan pemuzik akan datang yang ingin lakukan ini, untuk berjuang hingga ke akhirnya," tambah beliau.

Dalam pada itu, Shazza berharap dapat lebih banyak golongan dapat diwakili dalam industri dan memulakan lebih banyak perbualan tentang ini untuk membuka minda orang ramai.

"Saya memang ingin membawa lebih banyak perwakilan dalam industri ini dan saya harap saya akan dapat melakukannya sebagai 'hijabi', penyanyi dan penulis lagu, dan menyanyikan lagu Tamil dan Inggeris. Saya ingin memulakan lebih banyak perbualan tentang perkara ini jadi ia boleh membuka minda orang," tambah beliau.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Segmen persembahan NDP kali ini berharap dapat menampilkan kisah-kisah rakyat kita dengan mengetengahkan kekuatan kolektif dan kepelbagaian dan perpaduan yang mencerminkan masyarakat kita.

"Secara asasnya, saya rasa NDP ialah tentang rakyat kita dan bukan sahaja peserta tetapi juga para artis dan mereka yang kita bawa untuk persembahan ini dan antara perkara yang kita pilih untuk lakukan tahun ini ialah untuk membawa lebih ramai artis baharu kerana kita rasa NDP merupakan satu platform nasional untuk menampilkan bakat-bakat tempatan yang kita ada dan merupakan satu pentas di mana semua boleh membuat persembahan, di mana mereka boleh memberikan yang terbaik untuk Singapura dan rakyat Singapura pada 9 Ogos ini," kongsi Pengerusi Jawatankuasa Persembahan NDP, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Danny Poh.

Selain para artis, persembahan kali ini akan dimeriahkan lagi dengan lebih 3,000 peserta.

Dari usia semuda enam tahun sehinggalah 84 tahun, mereka akan mengiringi persembahan para artis dengan rekaan tari yang menarik lagi menghiburkan.

KESAN KHAS DAN PIROTEKNIK DIGUNAKAN DI PADANG BUAT PERTAMA KALI

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Selain itu, para penonton di Padang juga dijanjikan dengan pengalaman yang imersif dan menggamit pelbagai deria, mengetengahkan kisah kekuatan kolektif rakyat Singapura.

Para penonton misalnya berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada NDP kali ini untuk kanvas multimedia dengan memakai gelang LED di kawasan penonton.

Malah, buat pertama kalinya, pelbagai kesan khas dan Piroteknik untuk menyaksikan 360 darjah bunga api akan digunakan di Padang.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan