Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amira Akhtar antara 15 pelajar terbaik keseluruhan Program Tuisyen Kolaboratif

Dari kalangan 630 pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Tuisyen Bersama Kumpulan Bantu Diri tahun ini, 15 terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dari kalangan 630 pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Tuisyen Bersama Kumpulan Bantu Diri tahun ini, 15 terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

Baucar buku bernilai lebih S$72,000 diagihkan kali ini di bawah Program Tuisyen Kolaboratif (CTP), yang meliputi MENDAKI, CDAC, SINDA dan Persatuan Serani (EA).

15 pelajar yang diiktiraf dengan Anugerah Prestasi Akademik Terbaik Keseluruhan itu merangkumi kategori Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), GCE 'N' dan GCE 'O'.

Di kalangan empat pemenang kategori PSLE yang menerima anugerah masing-masing daripada tetamu terhormat iaitu Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (28 Ogos) ialah Amira Akhtar.

Murid dalam skim tuisyen MENDAKI itu meraih dua gred A dan satu A* tahun lalu.

Amira kini mengikuti Program Bersepadu di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC). Menurut Amira pengiktirafan tersebut memperkukuh lagi azamnya untuk terus mencapai kecemerlangan.

(Gambar: MENDAKI)

"Anugerah ini amat penting dan bermakna bagi saya kerana ia satu kenangan yang manis. Ia akan mengingatkan saya untuk terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian saya. Walaupun saya tahu akan banyak cabaran-cabaran baru yang saya akan menghadapi," katanya.

Amira juga berharap kejayaannya itu bukan sahaja dapat memberi inspirasi kepada adik-beradiknya, tetapi juga para pelajar lain.

128 PELAJAR SKIM TUISYEN MENDAKI DIIKTIRAF

128 daripada 630 pelajar yang menerima anugerah tahunan CTP ini ialah pelajar tuisyen MENDAKI.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cik Aidaroyani Adam, pihak MENDAKI amat bangga dengan pencapaian para pelajarnya.

"Alhamdulillah tahun ini MENDAKI amat berbangga dengan pencapaian para pelajar kami yang menghadiri skim tuisyen MENDAKI kami dan juga mereka yang menghadiri CTP bersama dengan kumpulan-kumpulan bantu diri yang lain.

"Keseluruhannya pencapaian meningkat dalam kesemua kategori dan sebagai contoh di peringkat PSLE, dari yang menerima anugerah pada tahun ini, kami mendapati 40 peratus peningkatan dan kami amat berbangga dan ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua penerima JTA pada tahun ini," ujar Cik Aidaroyani.

Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan lebih ramai masyarakat Melayu menghadiri program pendidikan MENDAKI selain daripada tuisyen MENDAKI.

Tambahnya, MENDAKI memberikan sokongan kepada para pelajar menerusi program bimbingan seperti 'MENDAKI Homework Cafe'.

Lantaran itu, beliau mengalu-alukan para pelajar Melayu untuk mendapatkan bantuan daripada MENDAKI dan melungsuri my.mendaki.org.sg.

MENTERI PENDIDIKAN KONGSI KISAH PERIBADI

Dalam ucapannya di majlis itu, Encik Chan turut berkongsi kisah peribadi bahawa ketika bergelar pelajar, beliau sendiri mendapat bantuan dari individu dan pertubuhan tempatan yang menawarkan biasiswa dan dermasiswa.

Budaya membantu seperti itu yang terdapat di Singapura beliau sifatkan sebagai luar biasa.

"Apabila saya ke universiti luar negara, saya sedar bahawa lebih ramai orang di luar sana yang lebih pandai atau lebih gigih daripada saya. Tapi malangnya mereka tidak membesar di Singapura. Ramai daripada mereka tidak dapat merealisasikan potensi penuh mereka," kata Encik Chan.

Lantaran itu tambah beliau, di Singapura, rakyatnya sering mengingatkan dirinya bahawa "kita berjaya bukan hanya disebabkan kerja keras dan kepandaian kita".

"Kami mampu berjaya kerana peluang-peluang yang diberikan kepada kami oleh masyarakat," tekan Encik Chan.

Lantaran itu kata Encik Chan definisi kejayaan bagi Singapura ialah bagaimana ia membolehkan generasi seterusnya untuk menjadi lebih maju lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan