Amir Khan tidak sabar beraksi kembali di gelanggang MMA
Seni bela diri campuran (MMA) menjadi antara sukan pertama menyambung semula pertandingan di Singapura selepas lebih tujuh bulan digantung dek COVID-19.
BERITAmediacorp: Seni bela diri campuran (MMA) menjadi antara sukan pertama menyambung semula pertandingan di Singapura selepas lebih tujuh bulan digantung dek COVID-19.
Acara ONE: REIGN OF DYNASITES yang menampilkan enam pertarungan akan diadakan pada 9 Oktober.
Pertarungan utamanya adalah antara atlit Thailand Sam-A Gaiyanghadao yang akan mempertahankan kejuaraan dunia Muay Thai kelas 'Strawweight' menentang atlit Australia Josh Tonna.
Atlit Singapura Amir Khan Ansari, 26 tahun, juga menjadi antara yang bakal beraksi di gelanggang One Championship dan akan bertarung dengan atlit India, Rahul Raju.
AMIR KHAN SIAP TEBUS KEKALAHAN LALU
Amir Khan kali terakhir bertarung di gelanggang One Championship pada 28 Februari lalu sebelum ia digantung dek COVID-19.
Ia antara pertarungan paling pahit bagi atlit kelas Lightweight itu kerana 'dibaham' Kimihiro Eto dari Jepun dalam masa 1 minit 39 saat sahaja dalam pusingan pertama.
Kini, ibarat harimau yang tidak sabar menunjukkan belangnya, Amir siap menebus kekalahan itu menerusi pertarungan dengan Rahul Raju "The Kerala Krusher".
Sekiranya berjaya, ia bakal merupakan kemenangan profesionalnya yang ke-13 dalam 20 perlawanan.
Amir memberitahu BERITAmediacorp: "Semestinya saya ingin bangkit lebih kuat dan menang. Saya sudah berlatih dengan gigih dan saya sudah membuat yang terbaik. Saya akan berikan yang terbaik bagi setiap pusingan, setiap saat."
LAWAN TANPA LATIHAN KONTAK SEPENUHNYA
Pertarungan kali ini merupakan yang pertama bagi Amir tanpa latihan kontak sepenuhnya dek sekatan COVID-19.
Disebabkan latihan kontak sepenuhnya masih ditangguhkan sehingga kini, Amir dan atlit-atlit lain terpaksa menggunakan patung untuk berlatih.
Meskipun patung saiz manusia seberat 28 kilogram yang digunakan tidak bertindak balas seperti manusia biasa, ia tetap memaksa para atlit untuk menjadi lebih kreatif dalam memikirkan langkah-langkah seterusnya
yang harus mereka ambil.
"Kami perlu mematuhi segala peraturan dan tidak dapat berlatih ke tahap potensi maksimum kami. Jadi itu perbezaannya. (Saya) kehilangan kecekapan otot untuk sukan khususnya untuk bertarung, bergelut, menumbuk dan stamina pertarungan," jelas Amir kepada BERITAmediacorp berkenaan cabaran berlatih semasa COVID-19.
Untuk mengimbangi kekurangan latihan bergelut, Amir mengatur lebih banyak rejim kekuatan otot, selain meningkatkan persiapan mental.
"Saya rasa saya fokus banyak kepada latihan mental dan membayangkan tentang situasi bergelut. Ia mungkin membantu saya dari segi mental untuk pertarungan ini, dan saya naik ke tahap mental yang lebih tinggi," kata Amir.
LANGKAH MENUJU KEADAAN NORMAL
Lebih daripada dapat kembali ke gelanggang, atlit Evolve Fight Team itu bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada langkah menuju ke keadaan normal.
"Hakikatnya yang saya sudah kembali bertanding menunjukkan kita sudah satu langkah menuju kembali ke keadaan normal. Ia boleh mengambil 2 hingga 3 tahun sebelum ianya menjadi seperti biasa sepenuhnya,"katanya kepada BERITA.
"Orang mungkin lihat “Oh dia sudah kembali bertanding di arena sukan” dan mereka mungkin boleh menjadi lebih bermotivasi," ujarnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.