Skip to main content

Singapura

Amerika Syarikat kenakan tarif 12.5% ke atas SG, dakwa kurang tegas larang import produk buruh paksa

Anggaran Waktu Membaca:
 Amerika Syarikat kenakan tarif 12.5% ke atas SG, dakwa kurang tegas larang import produk buruh paksa

Kontena di terminal pelabuhan Pasir Panjang Singapura, 1 Jun 2026. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 24 Jul 2026 11:00AM Dikemas Kini : 24 Jul 2026 11:59AM
SINGAPURA: Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 12.5 peratus ke atas barangan terpilih dari Singapura bermula Jumaat (24 Jul), selepas memutuskan bahawa negara ini tidak mempunyai langkah yang mencukupi untuk menyekat import barangan yang dihasilkan secara keseluruhan atau sebahagiannya menggunakan buruh paksa.

Langkah ini diambil berikutan siasatan Seksyen 301 oleh Amerika Syarikat terhadap 60 rakan dagang berhubung dakwaan kegagalan mereka menguatkuasakan larangan ke atas import barangan yang dihasilkan dengan buruh paksa.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat menyimpulkan pada bulan Jun bahawa 54 daripada ekonomi berkenaan, termasuk Singapura, China, dan Britain, "gagal mengenakan dan menguatkuasakan larangan import buruh paksa secara berkesan", lalu mencadangkan tarif 12.5 peratus ke atas barangan tertentu.

Tarif yang lebih rendah iaitu 10 peratus dicadangkan untuk ekonomi selebihnya yang turut berada di bawah siasatan, memandangkan mereka mempunyai undang-undang yang secara jelas melarang import barangan buatan buruh paksa.

Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Singapura sebelum ini menyatakan bahawa kira-kira 30 peratus daripada eksport domestik negara ke Amerika Syarikat boleh terjejas akibat tarif tersebut. Mediacorp sudah menghubungi kementerian berkenaan untuk mendapatkan komen mengenai pengumuman terkini itu.

Singapura sudah berhubungan dengan Amerika Syarikat sejak siasatan tersebut dilancarkan, dengan bertegas bahawa ia tidak menyokong buruh paksa dan mempunyai rangka kerja komprehensif bagi menangani amalan sedemikian di peringkat domestik.

Menteri Ehwal Luar, Vivian Balakrishnan, berkata pada Khamis (23 Jul) bahawa Singapura telah memberitahu Amerika Syarikat bahawa Washington "tiada asas teknikal atau ekonomi" untuk mengenakan tarif ke atas Singapura.

"Saya telah menegaskan secara amat jelas bahawa Amerika Syarikat menikmati lebihan dagangan (trade surplus) terhadap kita. Malah, lebihan itu semakin meningkat," kata Dr Balakrishnan selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-59.

"Sekalipun demikian, anda dan saya sedia maklum bahawa pentadbiran Amerika Syarikat, atas sebab politik domestiknya sendiri, perlu meningkatkan hasil tarif," kata beliau.
Mengulas mengenai lebihan dagangan Amerika Syarikat dengan Singapura, menteri itu berkata beliau cuba mencari jalan untuk menunjukkan kepada Amerika Syarikat bahawa negara ini bukanlah sasaran mereka.

"Namun kita juga perlu memastikan agar tidak menjadi 'mangsa sampingan' dalam rancangan keseluruhan Amerika Syarikat untuk menaikkan tarif ke atas semua rakan dagangnya," tambah beliau.

Tarif baharu ini akan mula berkuat kuasa pada Jumaat, pada hari yang sama pusingan berasingan duti global yang diperkenalkan awal tahun ini oleh Presiden Donald Trump, dijadualkan tamat. Pegawai-pegawai menyatakan bahawa langkah terkini ini dirancang agar lebih kukuh terhadap sebarang cabaran undang-undang.

Barangan yang sedia ada tertakluk kepada tarif khusus mengikut sektor - seperti keluli dan aluminium - tidak akan terjejas.

Barangan yang masuk di bawah perjanjian perdagangan bebas Amerika Syarikat-Meksiko-Kanada juga akan dikecualikan, kata seorang pegawai Amerika Syarikat kepada wartawan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita