Skip to main content

Singapura

Amerika, China perlu 'tunjuk kepimpinan' tangani isu global, penting teruskan dialog, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika, China perlu 'tunjuk kepimpinan' tangani isu global, penting teruskan dialog, kata PM Lee

(Gambar: siaran ASEAN Summit 2023)

Diterbitkan : 06 Sep 2023 03:33PM Dikemas Kini : 06 Sep 2023 04:22PM
JAKARTA: Amerika Syarikat (AS) dan China perlu "menunjukkan kepimpinan" untuk menangani pelbagai isu global, lantas penting bagi kedua-dua negara terus mengadakan dialog, membina kepercayaan strategik di semua peringkat dan berusaha ke arah kerjasama yang lebih besar, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (6 Sep).

Bercakap di sidang puncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Perdana Menteri China Li Qiang, Encik Lee menambah bahawa rantau itu "amat prihatin" keadaan hubungan AS-China.

"ASEAN mempunyai kepentingan langsung kerana ketegangan boleh mencetuskan konflik dan permusuhan sedia ada di rantau ini dan menjejaskan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati selama beberapa dekad," kata PM Lee.

Encik Li yang hadir di Sidang Puncak ASEAN buat pertama kalinya sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada Mac lalu, berkata ASEAN dan China berkongsi matlamat sama bekerja keras bagi keamanan di rantau ini, disebabkan "pemahaman mendalam mereka tentang kesusahan".

"Kita berdua mempunyai aspirasi yang kuat ke arah pembangunan. Dan kita mengambil tindakan untuk memelihara kestabilan serantau," tambahnya.

Sidang puncak ASEAN dengan China itu adalah yang pertama daripada beberapa siri pertemuan yang bakal diadakan oleh blok 10 negara anggota itu pada Rabu dengan beberapa rakan dialog, termasuk AS yang diwakili Naib Presiden Kamala Harris, disebabkan Presiden Joe Biden menghadiri Sidang Puncak Kumpulan G20 di India akhir minggu ini.

TUNTUTAN LAUT CHINA SELATAN

PM Lee juga menyentuh isu "mencabar" melibatkan Laut China Selatan.

China menuntut sebahagian besar laluan air strategik itu - yang dipertikaikan oleh empat negara ASEAN dan Taiwan - dan telah membina kemudahan ketenteraan di terumbu tiruan dalam rantaian pulau yang dipertikaikan untuk mengukuhkan tuntutan wilayahnya.

China juga telah mengeluarkan peta baharu yang menetapkan tuntutan ke atas sebahagian besar kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, mencetuskan bantahan oleh Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Dalam ucapannya, Encik Lee menggesa ASEAN dan China supaya menggiatkan usaha menyiapkan Kod Tata Laku bagi Laut China Selatan yang selaras dengan undang-undang antarabangsa - seperti Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 - dan melindungi "hak dan kepentingan semua pihak".

Sambil menekankan bagaimana kerjasama ASEAN-China boleh membantu kedua-dua pihak membina kepercayaan dan keyakinan untuk menangani isu-isu mencabar seperti Laut China Selatan, Encik Lee berkata para pegawai sudah memulakan rundingan untuk meluaskan perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China, meliputi bidang-bidang baharu muncul seperti digital. dan ekonomi hijau.

Beliau mengesyorkan agar ASEAN dan China membuka lagi ruang perjanjian pengangkutan udara mereka bagi menggalakkan lebih banyak pertukaran rakyat dengan rakyat, dan bekerjasama dalam ekonomi digital untuk menjadikan transaksi rentas sempadan lancar dan mampan.

Inisiatif-inisiatif itu kata Encik Lee menyokong Pelan Masa depan ASEAN di Indo-Pasifik. Beliau menggesa wilayah-wilayah itu untuk terus berusaha ke arah mencapai kerjasama ketara dalam bidang keutamaan maritim, ekonomi, keterhubungan dan Matlamat Pembangunan Mampan.

CHINA MAHU KEAMANAN

Dalam ucapannya, Perdana Menteri China Encik Li mengalu-alukan hubungan perdagangan dan "persaudaraan" antara ASEAN dan China, merujuk kepada meningkatnya perjanjian strategik komprehensif dua hala sebagai "bukti kukuh" kepercayaan strategik antara kedua-dua pihak.

"Tidak kira bagaimana situasi antarabangsa berkembang, China dan ASEAN telah mengekalkan pertukaran dan komunikasi yang rapat, menghormati laluan pembangunan masing-masing dan mendengar kebimbangan utama masing-masing," katanya.

"Kami telah memelihara keamanan dan ketenteraman di Asia Timur dalam dunia yang penuh dengan pergolakan dan perubahan."

Beliau juga menegaskan bagaimana China secara berasingan dengan enam negara ASEAN mencapai "persetujuan sebulat suara yang penting" dalam membina sebuah masyarakat dengan masa depan yang dikongsi bersama berdasarkan konsep yang diperkenalkan oleh Encik Xi pada 2013.

"Dan kami berharap dapat berbuat demikian dengan lebih banyak negara pada masa hadapan," kata Encik Li, tanpa menamakan negara tersebut. Laporan media sebelum ini pada Julai mengenal pasti enam negara anggota ASEAN itu sebagai Indonesia, Thailand, Malaysia, Myanmar, Laos dan Kemboja.

SITUASI SEMENANJUNG KOREA "MEMBIMBANGKAN"

Dalam satu sidang puncak berasingan pada Rabu, pemimpin ASEAN turut bertemu dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Encik Lee berkata keadaan di Semenanjung Korea kekal "membimbangkan", dan Singapura secara konsisten dan sekeras-kerasnya mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara, yang terbaru pada Julai.

“Ini telah meningkatkan lagi ketegangan di semenanjung dan melanggar resolusi UNSC (Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” kata PM Lee.

Encik Yoon pada Selasa menyeru negara-negara Asia Tenggara supaya "bergabung tenaga" dalam memberi tindak balas terhadap ancaman nuklear Korea Utara. Washington memberi amaran bahawa pemimpin Pyongyang Kim Jong Un sedang bersedia untuk membuat lawatan yang jarang dilakukannya ke Rusia untuk rundingan senjata.

"Singapura akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea," kata Encik Lee.

KERJASAMA EKONOMI DIGITAL, KESELAMATAN SIBER

Encik Lee juga menyeru ASEAN bekerjasama lebih rapat dengan Korea Selatan dan Jepun dalam ekonomi digital dan keselamatan siber.

"Bidang-bidang ini menyokong pemulihan pascapandemik di rantau kita dan akan menjadi enjin pertumbuhan utama," katanya semasa sidang puncak bersama Encik Yoon.

Encik Lee berkata beliau menantikan dimuktamadkan Kajian Penyelidikan Perdagangan Digital ASEAN-Korea yang dicadangkan Korea Selatan. Kajian yang sedang dijalankan itu akan membantu mengenalpasti bidang kerjasama digital yang boleh diterokai bersama.

"Pacuan ke arah pendigitalan harus disertai dengan usaha yang sama teguh untuk mengukuhkan keselamatan siber," katanya.

Semasa sidang puncak dengan Encik Kishida,kapasiti Encik Lee menyifatkan Jepun sebagai "penyumbang aktif" kepada usaha membangunkan bidang keselamatan siber ASEAN.

Sebagai contoh, Pelan Kerja Digital ASEAN-Jepun 2023 menunjukkan kerjasama dalam ekonomi digital, keselamatan siber, bandar pintar, aliran data, kecerdasan buatan dan pembinaan kapasiti.

"ASEAN dan Jepun harus terus berusaha ke arah ekosistem digital yang terbuka, inklusif dan saling berfungsi," tambah Encik Lee.
 
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita