Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ambil sikap terbuka apabila teroka pilihan kerjaya

Pekerja yang positif, proaktif, pandai menyesuaikan diri, berdaya tahan serta bertanggungjawab.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pekerja yang positif, proaktif, pandai menyesuaikan diri, berdaya tahan serta bertanggungjawab.

Demikian di antara ciri-ciri pekerja cemerlang yang dicari oleh majikan kata Jurulatih Kerjaya Kanan di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Cik Norazlinnah Zulkifli.

Cik Norazlinnah yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang bimbingan kerjaya membantu sekitar 30 klien sebulan, termasuk para graduan baru yang mendapati sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Selain kemahiran am dan juga teknikal, para majikan, menurut beliau, juga mencari calon-calon dengan kemahiran pemikiran kritikal, yang dapat berkomunikasi dengan baik dan ada kebolehan menyelesaikan masalah.


(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ada yang belum berjaya mendapat pekerjaan dalam masa tiga hingga lapan bulan selepas menamatkan pengajian. Kami bantu dari segi persiapan temuduga dan juga cara menulis resume," kata Cik Norazlinnah.

Tambahnya, menyenaraikan pencapaian di sekolah dan sewaktu menjalani perkhidmatan negara serta pengalaman melakukan pekerjaan sambilan dapat membantu seseorang pencari kerja muda untuk mendapat pekerjaan.



Beliau juga menasihati para pencari kerja supaya bersikap terbuka dalam meneroka pilihan kerjaya mereka.

Selain itu, mereka juga digesa supaya meluaskan rangkaian mereka di dalam industri yang mahu mereka ceburi.

"Cari peluang untuk rangkaian dalam industri yang ingin diceburi. ini kerana setiap orang yang kita kenali penting dan mungkin boleh juga membantu mereka mendapatkan pekerjaan dengan lebih cepat," jelas beliau.

Menurutnya, para pencari kerja yang mendapat bimbingan kerjaya biasanya berjaya mendapat pekerjaan dalam masa tiga hingga enam bulan.



"Ini berbeza dari industri ke industri. Sesetengah industri ada lebih tinggi dan banyak peluang. Ada juga yang akan mengambil sedikit masa," tambah Cik Norazlinnah.

Beliau juga menasihati golongan muda supaya mengambil kursus serta menimba kemahiran dalam industri mendatang.

CARI PENGALAMAN BERBEZA LUAR BIDANG PELAJARAN

Itulah yang dilakukan mahasiswa tahun ketiga dalam bidang sejarah di Universiti Nasional Singapura (NUS) Abdul Qayyum Taufeeq Affandey.


(Gambar: Syawal Yusoff)

"Sebagai seorang mahasiswa dari latar belakang dari jurusan seni dan sains kemasyarakatan, saya agak bimbang tentang prospek pekerjaan saya pada masa depan dengan globalisasi dan pendigitalan.

"Bagaimanakah peluang kerja seorang daripada jurusan tradisional? Prospek saya mungkin ada risiko di masa hadapan," kata Qayyum, 24 tahun, yang juga pengerusi bagi kumpulan berbilang universiti, Varsity Voices.

Di samping itu, Qayyum juga bimbang tentang peluang mendapatkan pekerjaan dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.



Jadi beliau memutuskan untuk menjalani latihan amali dan bekerja sambilan di sebuah firma guaman.

Selain mencari peluang meluaskan rangkaian dalam industri tersebut, ia juga cara beliau membuat persiapan untuk kerjaya di masa depan.

"Ia memberi saya lebih pilihan dan pengalaman selain daripada jurusan sejarah. Ia memberi saya peluang untuk membuka peluang kerjaya untuk saya selain daripada kerja-kerja yang dikatakan lebih tradisional atau berkaitan dengan latar belakang sejarah saya," tambah Qayyum, yang bercita-cita untuk menjadi seorang peguam suatu hari nanti.

"Saya tahu di dalam keadaan sekarang kebanyakan teman saya atau mereka yang lebih 'senior' memulakan proses mendapatkan kerja enam bulan sebelum mereka tamat pengajian.

Jadi saya juga berharap untuk dapat kerja secepat mungkin," tambah Qayyum.



Buat masa ini, beliau juga giat mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan Hab Pembelajaran NTUC.

Setakat ini beliau sudahpun mengambil kursus dalam 'Data Protection'.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa