Ambil peluang bersihkan musollah untuk eratkan hubungan dengan anak
Gambar: Fatyn Afiqah
SINGAPURA: Apabila Cik Amalina Ishak mendapat tahu tentang acara 'The Great Musollah Clean Up', beliau tidak berfikir panjang untuk daftarkan diri dengan dua orang anak perempuannya Adriana, 11 tahun dan Adawiyah, 5 tahun.
Bagi dirinya, ini peluang yang baik untuk meluangkan masa bermakna dengan dua orang cahaya matanya itu.
Inisiatif itu kembali diadakan pada 8 Jun lalu setelah empat tahun akibat COVID-19.
Ini termasuk musollah di Takashimaya, Wisma Atria dan Lucky Plaza.
“Terdapat surau yang dijaga dengan baik ada juga musollah yang keadaannya perlu diperbaiki seperti sejadah-sejadah yang berselerak yang kami perlu lipat rapi. Ada juga rak-rak yang kami perlu kemaskan dan bersihkan, lap.” ujar Cik Amalina.
Bermula dari jam 10 pagi, Cik Amalina dan anak-anak perempuannya memulakan hari membersihkan musollah di Takashimaya.
Dengan telekung dan sejadah lama mereka ketepikan untuk menggantikannya dengan yang baru sekali.
Pihak penganjur juga telah menyediakan barangan bagi kerja-kerja pembersihan itu.
“Kalau terdapat telekung yang sudah usang ataupun yang sudah berubah warna kami akan ketepikan dan gantikan dengan telekung yang lebih baharu.” kata Cik Amalina.
MEMUPUK SIFAT MENGEMAS DI RUANG AWAM
Ini bukan kali pertama Cik Amalina dan anak-anaknya melibatkan diri dalam kerja sukarela untuk membersihkan ruang-ruang awam.
Tahun ini, mereka juga menyertai acara gotong-royong sebelum bulan Ramadan di Masjid Al Mawaddah. Cik Amalina berkata itu adalah kali pertama beliau melibatkan anak-anaknya dalam inisiatif pembersihan.
Anak perempuannya Adawiyah, 5 tahun, dilihat membantu membuang botol minyak atar kosong dan menggantikannya dengan yang baharu.
“Tujuannya adalah untuk mendedahkan mereka kepada kerja-kerja komuniti dan juga menanamkan dalam diri mereka rasa tanggungjawab dan juga supaya mereka faham yang mereka memainkan peranan yang penting untuk bersihkan musollah kerana itu adalah satu tempat yang selalu dikunjungi muslimin dan muslimah di Singapura.” kata Cik Amalina kepada wartawan Fatyn Afiqah.
“Ketika telekung dan sejadah digantung kemas dan kalau nak guna minyak atar ada dan jika mahu baca Al-Quran, ia baharu ia dijaga dengan baik dan bersih. Saya harap pengunjung-pengunjung akan datang ke musollah-musollah ini dengan lebih kerap dan juga keadaannya akan dikekalkan.”
Bagi ikuti pengalaman Cik Amalina dan kedua anaknya, anda boleh menyaksikan video siri “Buat Apa Tu?” di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.