Ambil langkah berani cuba bidang baharu di universiti, akhirnya jadi 'Valedictorian'
(Gambar: Murdoch University)
SINGAPURA: Melihat betapa industri pelancongan dan hospitaliti begitu teruk terjejas akibat COVID-19, Suhaila Abdul Halim perlu berfikir panjang tentang pilihan kursus universiti yang mahu diikutinya.
Ini memandangkan beliau sudah menggenggam diploma dalam jurusan hospitaliti dan pelancongan dari politeknik.
Beliau kemudian terfikir tentang minatnya dalam bidang kriminologi yang mula berputik sejak di sekolah menengah lagi.
Itu yang mendorong Suhaila mengambil langkah berani untuk mengikuti kursus ijazah undang-undang perniagaan dan kriminologi di Universiti Murdoch.
"Ini kali pertama saya di universiti, saya tidak pasti tentang jangkaan untuk tugasan dan peperiksaan kami. Cabaran yang saya hadapi (juga) adalah jadual masa yang ketat untuk tugasan dari pelbagai modul. Selama setahun, saya terpaksa mengorbankan banyak acara keluarga dan kawan-kawan kerana saya perlu berikan tumpuan sepenuhnya kepada menyiapkan tugasan dan menyediakan diri untuk peperiksaan," jelas Suhaila.
Tekad dan usaha gigih beliau berbaloi apabila Suhaila, 22 tahun terpilih menjadi 'valedictorian' di majlis konvokesyen Kaplan Singapore yang diadakan pada Oktober lalu.
"Saya rasa amat bangga dengan diri saya kerana saya sedar bahawa penat lelah saya mengulangkaji pelajaran dan menyediakan tugasan sangat berbaloi. Ini adalah suatu kehormatan dan salah satu detik yang paling membanggakan dalam hidup saya," kata Suhaila.
PEGUAM IKUTI PROGRAM SARJANA BERGANDA
Seorang lagi lulusan cemerlang Universiti Murdoch tahun ini ialah Encik Mohamed Fazal Abdul Hamid.
Meskipun sudah mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dan kerjaya yang stabil sebagai seorang peguam, Encik Fazal merasakan masih banyak lagi ilmu yang perlu ditimbanya.
Ini yang mendorong peguam di firma I.R.B. Law LLP itu untuk kembali ke bilik darjah untuk meningkatkan kemahiran profesionalnya di luar undang-undang sambil masih bekerja.
Beliau mendaftarkan dirinya dalam program ijazah sarjana berganda yang ditawarkan oleh Universiti Murdoch di Kaplan Singapore.
"Cabaran yang saya hadapi adalah mengimbangi kerja dan pelajaran saya. Ini terbukti sangat sukar apabila saya ada perbicaraan di mahkamah. Saya juga terpaksa mengutamakan
kerja pada hari Isnin ke Jumaat dan belajar pada hujung minggu. Saya juga perlu mengorbankan masa bersama keluarga saya, seringkali belajar sekurang-kurangnya 12 jam setiap hujung minggu . Isteri saya, Nur Hafizah, selalu memberi saya sokongan," kata Encik Fazal kepada BERITA Mediacorp.
Beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk menamatkan pengajian sarjananya dalam Pentadbiran Perniagaan dan Pengurusan Sumber Manusia.
Selepas menamatkan pengajiannya Oktober lalu, Encik Fazal terdorong untuk membimbing generasi pelapis dan mula menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah adjung dalam kursus undang-undang di Kaplan Singapore.
"Saya harus memakai topi yang berlainan setiap hari, dan pada pendapat saya, adalah teramat penting untuk menumpukan perhatian seratus peratus kepada sesuatu tugas tersebut pada
waktu yang tertentu. Setiap masa itu diperuntukkan untuk sesuatu yang penting. Dengan itu, saya cuba untuk utamakan apa yang penting dahulu. Saya juga bekerja bersama dengan
teman-teman sekerja yang cekap dan selalu membantu saya," tambah Encik Fazal.
Majlis konvokesyen Universiti Murdoch diadakan di Dewan Persidangan Singapura pada 28 dan 29 Oktober 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.