Skip to main content

Singapura

'Ambil jalan lebih sukar sekarang', gesa Heng Swee Keat kepada syarikat tempatan

Syarikat-syarikat yang sangat bergantung kepada tenaga buruh perlu memanfaatkan teknologi dan meningkatkan kemahiran para pekerja mereka sedang Singapura merubah ekonominya untuk kekal berdaya saing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Feb 2019 08:44PM Dikemas Kini : 25 Feb 2019 09:59PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang sangat bergantung kepada tenaga buruh perlu memanfaatkan teknologi dan meningkatkan kemahiran para pekerja mereka sedang Singapura merubah ekonominya untuk kekal berdaya saing.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat menekankan demikian semasa lawatannya ke ST Engineering Aerospace hari ini (25 Feb), seminggu selepas beliau menyampaikan Belanjawan 2019.

Syarikat itu disebut oleh Encik Heng sebagai contoh baik yang patut diteladani oleh syarikat-syarikat lain.

Pelaburan ST Engineering dalam automasi dan peningkatan kemahiran pekerja membantu syarikat tersebut mengatasi isu-isu tenaga kerja.

Misalnya, proses membuang sadur pada selongsong kipas enjin pesawat kini dapat diselesaikan dalam sehari menggunakan robot berbanding dua hari jika dilakukan secara manual.

"Tenaga kerja di Singapura kian menua dan kami kekurangan tenaga buruh. Oleh itu, kami perlu melabur dalam bidang teknologi yang membolehkan kami menggunakan automasi dan menjadi lebih produktif," kata Timbalan Presiden ST Engineering Aerospace, Jeffrey Lam.

Mengulas tentang pentingnya mendakap teknologi, Encik Heng berkata, "Jika kami tidak melakukan perubahan, kami akan menemui jalan buntu dan perubahan yang dilakukan kemudian hanya akan bertambah sukar. Maka itu, adalah lebih baik untuk kami memilih jalan yang lebih sukar hari ini, supaya kami akan sampai ke destinasinya."

Singapura sedang mempergiat proses menyusun semula ekonominya. Dalam Belanjawan 2019, beberapa skim dilanjutkan dan diperkenalkan bagi membantu syarikat-syarikat dan para pekerja. Dasar tenaga kerja asing lebih ketat juga dijangka menjejas syarikat-syarikat yang sangat bergantung kepada tenaga buruh.

Dalam tempoh tiga tahun ke depan, pemerintah akan membelanjakan S$3.6 bilion untuk membantu para pekerja yang terjejas oleh gangguan perindustrian dan lagi S$1 bilion bagi membantu syarikat-syarikat untuk membangunkan keupayaan perusahaan mereka.

Langkah-langkah lain bagi memastikan rakyat Singapura terus mendapat pekerjaan dan peluang yang baik termasuk pengurangan Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC).

Langkah itu menetapkan kadar pekerja asing yang boleh digajikan dalam sesebuah syarikat.

Bagi membantu syarikat-syarikat mengatasi perubahan-perubahan ini, langkah-langkah seperti 70 peratus sokongan dana bagi Geran Pembangunan Perusahaan dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan, akan dilanjutkan untuk tiga tahun lagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita