Skip to main content

Singapura

Ambil iktibar kejadian luar negara untuk kukuhkan perpaduan sosial di SG: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata negara perlu mengambil iktibar daripada kejadian di luar negara bagi mengekalkan perpaduan sosial di sini.

Ini penting untuk membangunkan respons masyarakat dari segi pemikiran dan psikologi mereka serta memastikan masyarakat ada mekanisme pertahanan yang diperlukan untuk menangani insiden seperti serangan pengganas.

Ini meskipun Singapura telah berjaya melindungi keharmonian tersebut dengan agak baik dengan undang-undang yang tegas serta melarang ucapan kebencian yang menyerang kaum dan agama lain.

Encik Shanmugam memetik contoh Australia yang mahu memperketat undang-undang bagi ucapan bersifat kebencian menyusuli serangan maut di Pantai Bondi awal bulan ini.

"Jika mereka telah mencuba perkara ini lebih awal, saya yakin ramai orang akan bangkit dan berkata 'tidak', anda tidak sepatutnya lakukan ini," kata Encik Shanmugam.

"Jadi, Australia, UK, mereka semua sedang cuba menangani isu ini, manakala situasi kita agak berbeza. Jika kita lihat kembali pada tahun 1965 atau sedikit sebelumnya, latar kelahiran negara kita adalah rusuhan kaum dan ketegangan agama. Kita mempunyai barisan pemimpin yang, dengan mengambil kira keadaan itu, telah mewujudkan satu rangka kerja yang jelas, terutamanya dalam soal kebebasan bersuara dan ucapan kebencian, dengan menetapkan batas yang sangat tegas," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan di luar acara Pembungkusan Bantuan untuk Gaza yang dianjurkan oleh Humanity Matters (HM) siang tadi (31 Dis).
Related article image
150 sukarelawan telah mengembleng tenaga bagi membantu bungkus 18 tan keperluan asas siang tadi (31 Dis) di Charis Tabernacle. (Gambar: Hidir Ezat)
Seramai 150 sukarelawan berkumpul di gereja Charis Tabernacle bagi membantu membungkus 18 tan keperluan asas.

"Pada musim perayaan ini, kita bertukar ucapan, kita mengucapkan Selamat Hari Natal, Selamat Tahun Baharu tetapi jika anda berada di Gaza, ia bukanlah Tahun Baharu yang menggembirakan dan begitu juga, di beberapa bahagian Ukraine, Sudan dan Yaman. Berjuta-juta orang terjejas, ratusan ribu terbunuh dan khususnya mengenai Gaza, 90% rumah telah musnah atau rosak. Lebih daripada sejuta orang, mungkin hampir dua juta orang telah dipindahkan. Saya rasa 80% atau lebih memerlukan bantuan, dan mereka menghadapi kekurangan makanan," kata Encik Shanmugam.

"Humanity Matters telah menerajui usaha ini. Ini adalah kali kelima mereka menganjurkan. Yang lain juga telah tampil ke hadapan, dari akar umbi, untuk memberikan bantuan dan bekalan juga," tambahnya.

Menurut Timbalan Pengerusi HM, Gurmit Singh, keperluan asas yang dibungkus hari ini termasuk barangan seperti makanan serta bekas air untuk dihantar ke Gaza.

"Hari ini, apa yang kami lakukan ialah membungkus bekas air (jerrycan) untuk air, dan juga bekalan makanan, untuk keperluan khasiat dan mengenyangkan perut," kata Encik Singh.

"Makanan tersebut ialah makanan siap dimakan (ready-to-eat meals), jadi mereka hanya perlu buka bungkusannya dan boleh terus makan. Tidak perlu dimasak atau menggunakan api," katanya lagi.
Related article image
60,000 pek makanan serta 3,000 bekas air telah dibungkus untuk dihantar ke Gaza. (Gambar: Hidir Ezat)
Para sukarelawan membungkus sebanyak 60,000 pek makanan segera sup kacang (MRE) dan 3,000 bekas air yang boleh dilipat untuk pengagihan air minuman secara bersih melalui lori air di Gaza.

Antara mereka yang menyingsing lengan sebagai sukarelawan untuk membungkus keperluan asas ke Gaza ialah mantan Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan.

"Kita seharusnya menggunakan krisis ini sebagai peluang untuk memperkukuhkan lagi hubungan keagamaan dan sosial di antara kita. Apa juga hubungan, kita harus berdasarkan kepada kemanusiaan dan ini adalah sebagai satu manifestasi usaha kita untuk menekankan kepentingan hubungan berasaskan kepada kemanusiaan," kata Dr Hannan.

"Dalam kita menyambut tahun baharu ini, ini adalah satu usaha baik untuk mengingatkan kita bahawa hubungan kita harus bermula daripada hubungan seinsan," tambahnya lagi.

Seorang lagi sukarelawan, Teh Chee Yang turut meluahkan rasa terujanya.

"Kita semua berasa semangat terhadap isu ini walaupun ia berlaku di bahagian lain dunia, saya rasa ia adalah satu isu yang kita semua sebagai manusia boleh fahami," kata Teh.

"Oleh itu, tanpa mengira bahasa, kaum atau agama, kita semua hadir di sini sebagai sukarelawan untuk menyumbang kepada satu tujuan yang sama," tambahnya lagi.
Related article image
Bekalan bantuan bernilai S$204,000 tersebut diharapkan tiba ke Gaza sebelum bulan Ramadan. (Gambar: Hidir Ezat)
Bekalan bantuan bernilai S$204,000 tersebut akan dihantar ke Jordan dalam dua kontena pada awal Januari 2026 oleh Pacific International Lines (PIL).

Ia akan seterusnya disalurkan ke Gaza melalui lintasan darat atau penghantaran udara.

Matlamatnya adalah agar bantuan tiba sebelum bulan Ramadan, yang dijangka bermula pada pertengahan bulan Februari 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita