Ambil dos penggalak untuk kekalkan status lengkap divaksin: MOH
Mulai 14 Februari, mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap divaksin terhadap COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (5 Jan).

(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Mulai 14 Februari, mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap divaksin terhadap COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (5 Jan).
Peraturan baru itu tertakluk kepada mereka yang mengambil dos terakhir vaksin COVID-19 pada 20 Mei tahun lalu atau sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian.
"Mulai sekarang hingga 13 Februari 2022, selagi anda sudah mengambil dua dos vaksin mRNA atau tiga dos vaksin Sinovac, Sinopharm, tidak kira berapa lama anda sudah mengambil dos vaksin itu, anda masih dianggap sebagai sudah lengkap divaksin," katanya.
"Kemudian pada 14 Februari 2022, jika dos vaksin terakhir diambil sebelum 20 Mei 2021 - iaitu 270 hari atau sembilan bulan lalu - status anda sudah lengkap divaksin akan luput.
"Jadi untuk mengekalkan status lengkap divaksin, anda perlu mengambil dos penggalak sebelum tarikh akhir pada 14 Februari," kata Encik Ong.
Pihak berkuasa mengumumkan hal ini lebih sebulan lebih awal "supaya setiap orang yang status lengkap divaksin mungkin akan luput pada 14 Februari berpeluang mendapatkan dos penggalak lebih awal dan sebelum tarikh akhir itu", menurut Encik Ong.
"Mereka yang belum mencapai tarikh luput sembilan bulan atau tidak layak secara perubatan untuk mendapatkan dos penggalak, tidak akan terjejas."
Dalam satu kenyataan media, pihak berkuasa menyatakan mereka yang sudah selesai menjalani program vaksinasi COVID-19 dan layak mendapatkan dos penggalak akan diberikan status lengkap divaksin selama 270 hari selepas mendapatkan dos vaksin terakhir COVID-19.
Dos penggalak disaran diambil "dari sekitar lima bulan selepas itu... dan tidak lebih daripada 270 hari selepasnya" bagi memastikan tahap perlindungan yang optimum.
"Selepas mendapatkan dos penggalak, mereka tetap dianggap sebagai sudah lengkap divaksin selepas 270 hari," menurut MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.