Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ambil cuti, tempah teksi: Ibu bapa usaha pastikan anak duduki PSLE di tengah gangguan khidmat kereta api

Anggaran Waktu Membaca:
Ambil cuti, tempah teksi: Ibu bapa usaha pastikan anak duduki PSLE di tengah gangguan khidmat kereta api

Para pelajar Sekolah Rendah Nan Hua pada 26 Sep 2024. (Gambar: Natasha Ganesan/CNA)

SINGAPURA: Di tengah-tengah gangguan khidmat kereta api, para ibu bapa pelajar Darjah 6 membuat aturan baharu untuk memastikan anak-anak mereka dapat tiba tepat pada masanya pada hari pertama kertas bertulis bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Mediacorp bertemu beberapa ibu bapa di Sekolah Methodist Fairfield (Sekolah Rendah, yang terletak di Dover, dan Sekolah Rendah Nan Hua, di Clementi pada Khamis (26 Sep).

Kedua-dua sekolah tersebut terletak berdekatan dengan sebilangan stesen yang terjejas akibat gangguan khidmat MRT, dari Buona Vista sehingga Jurong East.
Calon PSLE menduduki kertas 1 dan 2 Bahasa Inggeris mereka pada Khamis. Kertas 1 bermula pada pukul 8.15 pagi, manakala kertas 2 bermula pada pukul 10.30 pagi.

Daripada seramai 41,000 calon yang menduduki kertas tersebut pada Khamis, lima dilaporkan lewat gara-gara gangguan khidmat kereta api tersebut, menurut Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Kelima-lima mereka tiba sebelum tamatnya kertas tersebut dan diberi masa untuk berehat sejenak sebelum mereka menduduki peperiksaan itu bagi tempoh penuh kertas tersebut.

Daripada lima calon itu, salah seorang daripada mereka menduduki kertas tersebut di sebuah pusat peperiksaan yang berlainan.

Calon harus menghubungi sekolah mereka jika mereka terjejas oleh khidmat gangguan kereta api dan SEAB akan bekerjasama dengan sekolah tersebut untuk menyediakan sokongan kepada mereka, jelas lembaga itu.

Apabila Mediacorp tiba di Sekolah Fairfield Methodist (Sekolah Rendah) kira-kira pukul 12.20 tengah hari, sebilangan ibu bapa dilihat menunggu pelajar Darjah 6 itu di luar sekolah berkenaan.

Cik Rashida Begum, yang anak lelakinya menduduki PSLE tahun ini, berkata beliau perlu mengambil cuti daripada kerja supaya beliau dapat menghantar anaknya ke sekolah, sebaik sahaja beliau mengetahui khabar mengenai gangguan kereta api tersebut malam semalam.

"Kami tidak pernah menjangkakan kerosakan besar sedemikian kerana kami bersedia untuk anak kami pergi ke sekolah sendiri dan fikir kerosakan itu akan diselesaikan dalam sekelip mata tetapi tidak," ujarnya.

"Kami tinggal di Queenstown dan oleh itu, untuk dia pergi ke sekolah, dia terpaksa menukar kereta api dan tidak akan dapat tiba tepat pada masanya, jadi saya mengambil cuti dan menghantarnya pagi ini."

Beliau menambah bahawa suaminya pula mengambil cuti pada Jumaat untuk menghantar anak mereka ke sekolah, sekiranya gangguan khidmat kereta api berlanjutan ke hari ketiga.

"Kami juga menghubungi anggota keluarga kami untuk melihat sama ada sesiapa boleh membantu kami jika gangguan kereta api berlanjutan sehingga minggu depan, tetapi mudah-mudahan itu tidak berlaku."

Ibu bapa Sekolah Fairfield Methodist turut berkongsi bahawa para pelajar Darjah 1 dan 2 sekolah tersebut menjalani pembelajaran di rumah (HBL) pada Khamis, yang sedikit sebanyak membantu dalam melegakan situasi trafik pada pagi hari itu.

Encik Lucas Low, yang anak lelakinya turut menduduki PSLE tahun ini, mengatakan beliau tidak terlalu bimbang tentang gangguan khidmat kereta api tersebut kerana beliau biasanya memandu anaknya ke sekolah. Mereka meninggalkan rumah mereka pada waktu biasa dan lalu lintas kelihatan normal.

Aturan alternatif yang serupa juga diambil oleh ibu bapa di Sekolah Rendah Nan Hua, yang terletak di Clementi.

Encik Lee, yang sedang menunggu untuk menjemput anaknya pulang selepas tamat kertas PSLE itu, berkata dia tinggal di laluan Utara-Selatan dan terpaksa menukar kereta api di Jurong East.

"Sebaik sahaja saya tahu Laluan (Timur-Barat) tidak berfungsi dan ia tidak akan dapat diperbaiki semalaman, kami memutuskan untuk menempah teksi," kata lelaki berusia 40 tahun itu, yang hanya mendedahkan nama keluarganya.

Beliau berkata beliau membuat tempahan pada pukul 6.30 pagi dan anaknya tiba di sekolah kira-kira setengah jam kemudian.

Aturan sedemikian bermakna beliau terpaksa membayar tambang teksi yang lebih tinggi daripada biasa, iaitu kira-kira S$30.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan