Skip to main content

Singapura

Amaran paparan lambang berkaitan perang Israel-Hamas; semak sebelum sokong pengumpulan dana amal: MHA

Anggaran Waktu Membaca:
Amaran paparan lambang berkaitan perang Israel-Hamas; semak sebelum sokong pengumpulan dana amal: MHA

(Gambar: Facebook/An-Nur Mosque)

Diterbitkan : 06 Nov 2023 11:19PM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura pada Isnin (6 Nov) mengeluarkan dua nasihat yang memberi amaran kepada orang ramai supaya dia tidak mempamerkan lambang negara asing yang berkaitan dengan perang Israel-Hamas, dan berwaspada dalam sokongan terhadap aktiviti-aktiviti pengumpulan dana.

Ini berlaku beberapa hari selepas agensi-agensi pemerintah mengingatkan warga asing yang bekerja atau tinggal di Singapura agar tidak menggunakan negara itu sebagai platform untuk meneruskan tujuan politik mereka.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) berkata dalam pesanannya pada Isnin bahawa ia mengetahui bahawa pakaian dan barangan yang mempunyai lambang negara asing berkaitan konflik itu dijual di dalam talian, dipakai atau dipamerkan.

Menurut MHA, ia ditanya mengenai tindakan yang akan diambil jika barangan tersebut dipamerkan atau dipakai di Singapura, termasuk oleh para pelancong yang ingin memasuki negara itu.

“Melainkan ia dikecualikan secara nyata, paparan awam lambang negara asing tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Akta Lambang Negara Asing (Kawalan Paparan) 1949,” kata MHA.

Kesalahan itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$500 atau kedua-duanya sekali.

Menyedari bahawa perang Israel-Hamas yang sedang berlangsung adalah "isu yang mencetuskan emosi", MHA menasihatkan orang ramai agar tidak memaparkan atau memakai barangan yang berkaitan dengan konflik itu, memandangkan "sensitiviti yang meningkat".

Ia menasihatkan semua pelancong yang menggunakan pusat pemeriksaan Singapura supaya tidak mempamerkan atau memakai barang-barang tersebut, dan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhinya, termasuk menafikan kemasukan mereka ke Singapura.

"Khususnya, mempromosi atau menyokong keganasan melalui paparan pakaian atau perlengkapan yang memaparkan logo kumpulan pengganas atau militan, seperti Hamas atau unit tentera Briged Al-Qassam, tidak akan dibiarkan," menurut MHA.

"Keamanan dan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama di Singapura tidak boleh dipandang remeh, dan kita tidak boleh membiarkan peristiwa yang berlaku secara luaran menjejaskan keamanan dan keharmonian yang kita ada di Singapura."

PENGUMPULAN DANA AMAL LUAR NEGARA

Pejabat Pesuruhjaya Amal mengeluarkan satu lagi nasihat yang mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti mengumpul dana untuk tujuan amal asing memerlukan permit daripada pesuruhjaya sebelum rayuan boleh dimulakan.

Keperluan itu juga terpakai kepada penjualan barangan jika ada representasi bahawa hasil derma akan disalurkan ke tujuan amal di luar negara.

"Ini memastikan dana penderma disalurkan kepada tujuan yang dinyatakan, tujuan benar," menurut nasihat itu.

Persatuan Palang Merah Singapura dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kini memegang permit yang sah untuk usaha mengumpul dana berkaitan konflik Israel-Hamas, menurut nasihat itu.

Pesuruhjaya Badan Amal mengingatkan para penderma supaya berhati-hati dan arif tentang sumbangan mereka.

"Pertama, tanyakan kepada pengumpul dana soalan asas seperti siapa penerima dana itu, untuk apa sumbangan mereka, dan bagaimana penderma boleh menerima maklumat terkini tentang penggunaan dana," menurut nasihat itu.

Penderma juga boleh menyemak Portal Amal untuk mengesahkan bahawa mereka menyokong rayuan yang dianjurkan oleh badan amal atau entiti yang berdaftar dengan permit yang sah untuk mengumpul dana bagi tujuan amal di luar negara.

Keprihatinan serius mengenai sebarang aktiviti pengumpulan dana untuk tujuan amal di luar negara boleh dilaporkan kepada Pesuruhjaya Badan Amal.

Jika ia disyaki satu penipuan, ia harus dilaporkan kepada polis.

Pesuruhjaya akan meneliti kes di mana kegiatan pengumpulan dana yang tidak wajar yang disyaki dan dilaporkan, atau jika terdapat maklum balas mengenai salah urus rayuan pengumpulan dana, tambah nasihat itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita