Amaran HSA: Kopi Jantan Ali Macca, Kopi Panggung AL-Ambiak & Berry Jaga Chewable Candy bawa kesan buruk
Orang ramai diberi amaran supaya jangan menggunakan tiga produk kesihatan yang didapati mengandungi "bahan ubat kuat" dan satu bahan terlarang, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataannya pada Selasa (24 Mac).
SINGAPURA: Orang ramai diberi amaran supaya jangan menggunakan tiga produk kesihatan yang didapati mengandungi "bahan ubat kuat" dan satu bahan terlarang, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataannya pada Selasa (24 Mac).
Ketiga-tiga produk itu adalah - ‘Kopi Jantan Ali Macca’, ‘Kopi Panggung AL-Ambiak Natural Herbs Coffee’, dan ‘Berry Jaga Chewable’ yang mempunyai bahan ubat kuat yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk.
Bertindak berdasarkan maklum balas orang awam, HSA mendapati bahawa ‘Kopi Jantan Ali Macca’ dan ‘Kopi Panggung AL-Ambiak Natural Herbs Coffee’ dijual di Shaik Abdul Kader Al-Jailani Makan Place Pte Ltd, sebuah kedai kopi yang terletak di Bedok North Street 3.
Hasil ujian HSA mendapati bahawa ‘Kopi Jantan Ali Macca’ mengandungi sildenafil manakala ‘Kopi Panggung AL-Ambiak Cafe Natural Herbs Coffee’ mengandungi desmethyl carbodenafil.
‘Kopi Panggung AL-Ambiak Natural Herbs Coffee’ juga dijual melalui wadah e-dagang tempatan.
‘Berry Jaga Chewable Candy’ pula dijual di laman Berry Jaga Marketing dan didapati mengandungi sehingga 10 kali dos harian tadalafil yang digunakan untuk merawat mati pucuk.
HSA sudah mengarahkan Shaik Abdul Kader Al-Jailani Makan Place Pte Ltd dan Berry Jaga Marketing supaya berhenti menjual produk-produk tersebut.
Antara kesan sampingan ubat tersebut, ia boleh meningkatkan risiko angin ahmar, serangan jantung dan tekanan darah rendah.
Semua penjual dan pembekal mesti berhenti menjual produk-produk ini dengan serta-merta.
Para penjual dan pembekal boleh didakwa kerana ia adalah satu kesalahan untuk menjual produk-produk haram sedemikian.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan/atau didenda sehingga S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.