Skip to main content

Singapura

Amaran di stesen MRT mengenai kes ambil gambar bawah skirt, cabul hasrat 'tingkatkan kesedaran': Polis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengumuman mengenai pencabulan dan mengambil gambar bawah skirt dibuat di semua stesen MRT pada waktu sibuk sejak April untuk mencegah pelaku, menurut polis.

Menurut jurucakap polis yang menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (4 Jun), pengumuman tersebut dibuat untuk meningkatkan kesedaran penumpang terhadap kesalahan tersebut dan menghalang pelaku daripada melakukan demikian.

Polis tidak mengulas tentang mengapa pengumuman itu diperkenalkan pada waktu ini, meskipun kes mengintai meningkat tahun lalu, dengan sejumlah besar berlaku dalam pengangkutan awam.

Pengumuman yang dibuat dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil, menarik perhatian penumpang, dengan sebahagian daripada mereka menggunakan media sosial untuk membincangkan sama ada ia diperlukan.

PENINGKATAN PADA KES MENGINTAI

Menurut Laporan Jenayah Tahunan 2023, kes mengintai naik dari 424 kes pada 2022 kepada 476 kes pada 2023.

Rangkaian pengangkutan awam merupakan salah satu daripada tiga lokasi utama di mana kes mengintai dilakukan, dengan 56 kes dilaporkan pada 2023, berbanding 55 pada 2022.

Dua lagi lokasi adalah di premis perumahan (151 kes pada 2023), dan kawasan beli-belah (84 kes pada 2023).

Laporan tersebut menyatakan bahawa polis sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan masyarakat untuk meningkatkan pendidikan awam serta mencegah sebarang pelaku.

Sejak Februari 2024, mesej yang menasihatkan tentang kesalahan mengintai juga dipamerkan secara terang-terangan di tangga bergerak stesen MRT tertentu.

Kesalahan mencabul membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun. Pesalah juga boleh didenda atau dirotan, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan mengintai, yang termasuk mengambil gambar dan video bawah skirt, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda atau dirotan, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita