Amaran dari polis & peguam: Anggotai kumpulan sembang kongsi bahan lucah adalah kegiatan jenayah
Dua kumpulan bual sembang Telegram yang disiasat polis kerana didakwa menyebarkan gambar-gambar lucah wanita Singapura mungkin merupakan sebahagian kecil daripada gambaran sebenar di sini.
SINGAPURA: Dua kumpulan bual sembang Telegram yang disiasat polis kerana didakwa menyebarkan gambar-gambar lucah wanita Singapura mungkin merupakan sebahagian kecil daripada gambaran sebenar di sini.
Pihak Mediacorp mendapati ada sekurang-kurangnya 13 lagi kumpulan bual sembang serupa di aplikasi tersebut.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pihaknya sedar tentang kewujudan kumpulan-kumpulan bual sembang itu sambil menambah siasatan sedang dilakukan.
Para peguam pula memberi amaran bahawa banyak kegiatan dalam kumpulan-kumpulan itu bersifat jenayah.
CIRI PRIVASI MUNGKIN LINDUNG AKTIVITI TIDAK ELOK
Aplikasi penghantaran mesej seperti Telegram, disukai ramai pengguna kerana memiliki ciri-ciri privasi.
Namun, aplikasi seperti ini juga menyediakan ruang bagi aktiviti-aktiviti jenayah.
Dua kumpulan sembang Telegram - SG Nasi Lemak dan SharingIsCaring - mendapat sorotan kerana didakwa menyebarkan bahan-bahan lucah.
Dua lelaki dan dua remaja sudah dikenakan pertuduhan di mahkamah kerana didakwa terlibat dalam SG Nasi Lemak.
Namun, siasatan Mediacorp menemui 13 lagi kumpulan bual sembang Telegram di mana bahan-bahan lucah disebarkan secara bebas.
Sebahagian daripada gambar-gambar itu menampilkan rakyat tempatan atau diambil di negara ini.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis menyatakan pihaknya sedar tentang adanya kumpulan-kumpulan bual sembang itu sambil menambah siasatan sedang dilakukan.
AWAS JANGAN TERJEBAK DENGAN KEGIATAN JENAYAH
Para peguam pula memberi amaran bahawa banyak kegiatan dalam kumpulan-kumpulan bual sembang itu bersifat jenayah.
"Mereka boleh dituduh di bawah kanun keseksaan, buat masa ini di bawah Seksyen 292 iaitu memiliki atau menyebarkan bahan-bahan lucah," nasihat Encik Lionel Tan, seorang peguam dari firma guaman Rajah & Tann.
Malahan para pengguna kumpulan sembang itu yang tidak memberi sumbangan dari segi kandungan juga menghadapi risiko sekiranya sesuatu bahan itu disebarkan tanpa izin pemiliknya atau memaparkan kanak-kanak.
Jumlah pengguna di dalam setiap kumpulan sembang sedemikian berbeza.
Daripada 13 kumpulan sembang seumpama itu yang dikesan Mediacorp, separuh daripadanya memiliki lebih daripada 10,000 anggota.
Sehingga awal bulan ini, separuh daripadanya masih aktif digunakan oleh para anggotanya.
Kebanyakan kumpulan sembang itu ditubuhkan pada tahun lalu dan tahun ini.
Polis menasihati orang ramai supaya tidak menyertai kumpulan bual sembang yang melakukan perbuatan jenayah. Polis juga menggesa orang ramai supaya menghubunginya jika mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah.
Semua maklumat yang diberi akan dirahsiakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.