AMAP saran larang basikal tanpa brek di laluan pejalan kaki, jalan raya
Basikal gear tetap atau lebih dikenali sebagai "fixie" dan juga jenis basikal lain yang tidak dipasang dengan brek tangan harus dilarang dari laluan awam dan jalan raya.
Gambar Hiasan: (Gambar: Facebook/ Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)
SINGAPURA: Basikal gear tetap atau lebih dikenali sebagai "fixie" dan juga jenis basikal lain yang tidak dipasang dengan brek tangan harus dilarang dari laluan awam dan jalan raya, menurut Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) pada Rabu (30 Dis).
Dalam laporannya yang diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), AMAP turut menyarankan satu peraturan baru diperkenalkan bagi membenarkan hanya basikal yang dipasang dengan brek digunakan di laluan pejalan kaki dan jalan raya.
Tiada peraturan sedemikian dikuatkuasakan di Singapura sejauh ini, dedah panel tersebut dalam semakan keempatnya sejak 2015.
Basikal "fixie" biasanya tidak dipasang dengan brek dan pergerakannya hanya dapat dihentikan apabila pengayuh menahan aksi mengayuh dengan kaki mereka.
Pada Januari 2020, seorang pengayuh basikal "fixie" berusia 13 tahun meninggal dunia selepas merempuh selusur tempat letak kereta bertingkat dan terjatuh dari kawasan tinggi.
Berdasarkan hasil siasatan Koroner Negara, mahkamah mendapati basikal sedemikian tidak sesuai bagi golongan muda. Kematian belia itu dianggap sebagai satu peristiwa malang.
Sebahagian daripada semakan itu dicetuskan oleh nahas yang melibatkan basikal sedemikian, jelas panel berkenaan dalam laporan tersebut.
Dalam catatan Facebooknya pada Rabu (30 Dis), Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Pengerusi AMAP, berkata mencapai keseimbangan antara kepentingan pihak berkepentingan dan keselamatan semua pengguna "memerlukan banyak usaha dan pendampingan yang menyeluruh".
"Banyak pihak berkepentingan dan kumpulan-kumpulan penggemar mobiliti aktif yang pelbagai mahu perkara ini diberikan perhatian yang sewajarnya.
"Mencapai kata sepakat dalam AMAP sendiri tentang bagaimana hendak melakukannya turut menyaksikan perbahasan yang sengit! Sungguhpun demikian, kami yakin akan dapat menghasilkan huraian yang seimbang dan dipertimbangkan dengan menyeluruh."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.