Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AMAP akan semak semula peraturan berbasikal di jalan raya

AMAP akan semak semula peraturan berbasikal di jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
AMAP akan semak semula peraturan berbasikal di jalan raya

Pengayuh basikal di Singapura. (Gambar: Yeo Kai Ting)

Diterbitkan : 12 Apr 2021 11:29PM Dikemas Kini : 12 Apr 2021 11:36PM

SINGAPURA: Sedang lebih ramai orang mengayuh basikal di jalan-jalan raya di Singapura, sebuah panel penasihat akan menjalankan semakan ke atas peraturan-peraturan untuk melihat bagaimana keselamatan para pengayuh basikal dan pengguna lain jalan raya boleh dipertingkat.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat hari ini (12 Apr).

Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) - yang menyarankan peraturan-peraturan bagi penggunaan basikal dan peralatan pergerakan peribadi (PMD) di ruang-ruang awam - akan melihat kemungkinan langkah-langkah seperti pendaftaran basikal atau mewajibkan lesen ke atas para pengguna basikal, kata beliau.

Pihak berkuasa juga mungkin menimbangkan kemungkinan mewajibkan para pengguna basikal untuk mengambil ujian teori, seperti para pengguna PMD dan basikal elektrik sekarang, tambah Encik Chee.

Sekalipun demikian beliau berkata kelebihan dan kekurangan langkah sedemikian mesti dikaji.

Bercakap kepada para wartawan di ibu pejabat Penguasa Pengangkutan Darat, Encik Chee berkata negara-negara seperti Netherlands - di mana lebih daripada suku daripada semua perjalanan harian dibuat menggunakan basikal - tidak memerlukan basikal-basikal didaftar atau pengayuhnya berlesen.

"Sebaliknya mereka menggunakan cara-cara lain untuk memastikan keselamatan tetapi ia adalah saranan yang boleh diteliti panel tersebut sebagai sebahagian daripada semakan menyeluruh ke atas peraturan-peraturan sedia ada dan melihat sama ada langkah sedemikian secara keseluruhannya, baik untuk Singapura," kata Encik Chee, yang juga Menteri Negara Kanan Ehwal Luar.

"Sedang kita melakukan demikian, penting untuk kami melakukannya dengan seimbang dan adil kerana kita tidak mahu secara tidak sengaja untuk tidak menggalakkan kegiatan berbasikal," tambah beliau, sambil merujuk kepada peranan basikal untuk menjadikan rangkaian pengangkutan Singapura lebih mesra sekitaran.

Ini sedang banyak bandar di merata dunia, termasuk Singapura, melihat lebih ramai orang berbasikal di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Encik Chee berkata semakan itu juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran kepada peraturan-peraturan sedia ada - seperti perlunya untuk pengguna basikal mematuhi peraturan trafik di jalan raya dan tidak menggunakan telefon bimbit mereka semasa berbasikal - sambil mengatakan ini memerlukan lebih banyak penguatkuasaan oleh LTA dan Polis Trafik.

"Yang ketiga ialah kita juga perlu untuk melihat peraturan-peraturan sedia ada untuk melihat sama ada ia relevan dan kita juga akan mengkaji amalan-amalan negara-negara lain, lebih-lebih lagi negara yang mempunyai budaya berbasikal yang baik," kata Encik Chee.

Panel itu akan meneliti sama ada peraturan-peraturan dan amalan-amalan daripada negara lain boleh disesuaikan kepada konteks tempatan.

Ia akan mendampingi kumpulan-kumpulan berbeza pengguna basikal, seperti mereka yang berbasikal ke tempat kerja, yang melakukan perjalanan menggunakan basikal dan juga untuk riadah serta para pengguna lain jalan raya, kata beliau.

Proses itu mungkin mengambil masa "beberapa bulan", tambah beliau.

"Jika AMAP memerlukan lebih banyak masa, saya rasa penting untuk kita tidak tergesa-gesa mempercepat prosesnya tetapi mendengar daripada semua pihak berkepentingan berbeza-beza sebelum memberikan saranan," kata beliau.

Semakan itu juga akan menimbangkan bagaimana untuk mempertingkat keselamatan bagi semua pengguna jalan raya dalam senario di mana lebih ramai orang akan berbasikal pada masa akan datang, dengan Encik Chee menyifatkannya sebagai "sesuatu yang baik".

"Jadi peraturan-peraturan itu bukan sesuatu yang kita teliti untuk keadaan sekarang tetapi juga untuk masa depan," kata beliau.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan