AMAP akan pantau lebih teliti, terus dampingi pihak berkepentingan, kata Dr Faishal
Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berbesar hati setelah saranan-saranan terkini oleh Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) berhubung semakan ke atas peraturan mobiliti aktif diterima sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
(Gambar: Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)
SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berbesar hati setelah saranan-saranan terkini oleh Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) berhubung semakan ke atas peraturan mobiliti aktif diterima sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menulis di laman Facebooknya hari ini (4 Dis), Dr Faishal berkata tahun ini sungguh mencabar dan banyak keputusan sulit harus dibuat demi keselamatan setiap anggota masyarakat.
Dengan semua saranan yang diusulkan AMAP diterima pemerintah, Dr Faishal yang juga pengerusi AMAP berkata panel pimpinan beliau akan meneruskan kerja mereka dan meneroka bidang-bidang lain untuk menjaga keselamatan dan membangunkan landskap mobiliti aktif yang bertenaga lagi mampan.
"Kami akan pantau dengan teliti, membuat pendampingan secara meluas dan terus bekerja rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan peraturan dan syarat-syarat kekal relevan buat Singapura," tulis beliau dalam catatannya.
Dr Faishal juga berharap setiap pengayuh basikal, pengguna peranti mobiliti dan pejalan kaki terus memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan mobiliti aktif satu pilihan perjalanan yang selesa dan boleh dinikmati masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.