Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amanat NDP PM Lee: Kadar inflasi, faedah rendah 'tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat'

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Aug 2022 09:56PM Dikemas Kini : 08 Aug 2022 10:36PM
SINGAPURA: Dunia mungkin tidak kembali ke paras inflasi serta kadar faedah rendah yang dinikmati sejak beberapa dekad kebelakangan ini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada lewat petang Isnin (8 Ogos).

Rakyat Singapura juga harus bersedia bahawa rantau ini mungkin tidak seaman dan stabil seperti yang dialami sejauh ini, kata Encik Lee sehari sebelum Singapura meraikan ulang tahun negara ke-57.

Amanat Encik Lee itu dirakamkan di Taman di Pesisiran dan disiarkan pada Isnin (8 Ogos).

Meskipun negara sudah mengharungi dugaan pandemik COVID-19, perjalanan seterusnya tidak akan menjadi sesuatu yang mudah dan rakyat Singapura perlu berdiri teguh bersatu, kata Encik Lee.

Menyentuh tentang inflasi, Encik Lee memberi jaminan bahawa pemerintah sedang "melakukan segala yang wajar" untuk membantu rakyat menangani kos yang meningkat.

Pada Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong mengumumkan pakej bantuan baru bernilai S$1.5 bilion untuk menghulurkan bantuan bersasar kepada rakyat Singapura yang lebih mudah terjejas oleh inflasi.
"Pemerintah juga bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi jika keadaan bertambah buruk," kata Encik Lee.

"Namun, hakikatnya keadaan ekonomi antarabangsa sedang mengalami peralihan".

Tindak balas Singapura yang "lebih mendalam" terhadap anjakan ini seharusnya adalah untuk mengubah industrinya, meningkatkan kemahiran serta daya penghasilan, kata Encik Lee.

"Dengan itu, gaji kita boleh naik lebih tinggi daripada inflasi dan rakyat Singapura boleh meraih pendapatan sebenar lebih tinggi dari tahun ke tahun."

Mengenai keadaan geopolitikal pula, Encik Lee berkata hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China tidak mungkin akan bertambah baik dalam masa terdekat.

"Hubungan AS-China semakin memburuk dengan isu-isu yang sukar dibendung, syak wasangka yang mendalam dan pelibatan terhad antara kedua-dua negara," ujar Encik Lee.
Pencerobohan Rusia di Ukraine juga membawa kesan ketara buat seluruh dunia dan Singapura, kata Encik Lee.

"Singapura akan dilanda ketegangan dan persaingan yang sengit di rantau sekeliling kita."

"Apa yang boleh kami lakukan tentang hal ini? Kekal bersatu padu adalah kunci kepada penakatan Singapura - ia adalah satu-satunya cara untuk menangani cabaran dalam dunia yang kian dibelenggu masalah," tekan beliau.

Encik Lee juga berkata negara ini mesti mengekalkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan Home Team yang kukuh lagi berwibawa.

"Kami juga harus menguatkan diri serta bersiap siaga dari segi psikologi bahawa dalam beberapa dekad seterusnya, rantau kami mungkin tidak akan seaman dan stabil sebagaimana ia sejauh ini."

PANDANG JAUH

Encik Lee menggesa rakyat Singapura supaya berpandangan jauh, sambil menarik perhatian kepada bagaimana Taman di Pesisiran merupakan hasil perancangan yang berdekad lamanya.

Beliau berkata tanah tempat beliau berdiri untuk menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan itu ditebus semula beberapa dekad lalu sebagai sebahagian daripada rancangan Singapura untuk mewujudkan sebuah pusat bandar baru dengan ruang awam hijau .

"Beginilah cara bagaimana kita melakukannya di Singapura - sentiasa berani bermimpi, menetapkan sasaran seterusnya dan mencari huraian lebih baik serta kemungkinan baru," kata Encik Lee.

"Kami memandang ke hadapan dan merancang bukan sekadar buat lima atau 10 tahun akan datang tetapi bagi tempoh 30 atau 50 tahun seterusnya dan selanjutnya."

Encik Lee menambah bahawa rancangan jangka panjang bukan tentang prasarana fizikal semata-mata.

"Kita juga harus mengekalkan kemajuan ekonomi dan daya bingkas sosial - melabur dalam modal insani kita untuk membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya, mengambil berat tentang warga emas dan golongan yang mudah terdedah serta memumpuk identiti bersama dan membina masa depan yang lebih cerah bagi cucu kita dan generasi seterusnya," kata beliau.

Encik Lee berkata Encik Wong dan pemimpin generasi keempat Singapura sudahpun melancarkan agenda Melakar Hala Tuju Singapura untuk melibatkan rakyat Singapura dalam memperbaharui kompak sosial Singapura dan melakar hala tuju masa depan.

Beliau menjemput rakyat Singapura untuk turut serta secara aktif dan menyumbangkan idea-idea mereka.
"Kami tidak boleh berhenti mengimpikan dan perlu terus membina Singapura yang didamkan sekalipun sedang kita mengukuhkan benteng pertahanan kita daripada apa yang mungkin boleh berlaku," kata Encik Lee.

"COVID-19 tidak akan menjadi krisis terakhir Singapura. Lebih banyak ribut dan badai akan melanda pada hari muka. Namun, kita tidak perlu gentar. Selagi kaita kekal bersatu padu dan teguh, kita boleh memastikan negara kita aman dan selamat, membina ekonomi yang lebih makmur, membina sebuah masyarakat inklusif yang kita semua adalah sebahagian daripadanya dan sesuatu yang menjadi kebanggaan bersama untuk tahun-tahun mendatang."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan