Skip to main content

Singapura

Amanat Hari Kebangsaan 2026: Semakan besar bagi sokong keluarga SG sepanjang perjalanan hidup, menurut PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Aug 2026 07:35PM Dikemas Kini : 25 Aug 2026 10:40PM
SINGAPURA: Pemerintah sedang menjalankan "semakan besar" terhadap cara ia menyokong keluarga Singapura, bukan sahaja ketika mereka berkahwin dan menjadi ibu bapa, tetapi sepanjang perjalanan hidup mereka, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sabtu (8 Ogos).

"Kami sedang meneliti semula isu seperti kos membesarkan anak, akses kepada khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak yang dimampui serta cara lain untuk meringankan beban keluarga," kata Encik Wong dalam Amanat Hari Kebangsaannya yang disampaikan di Stadium Negara.

Beliau akan berkongsi lebih lanjut mengenai rancangan tersebut dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 23 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

Dalam amanatnya, Encik Wong mengakui kehidupan berkeluarga semakin tertekan di seluruh dunia.

Jangkaan semakin meningkat dan ibu bapa berasa tertekan untuk memberikan permulaan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka.

Pada masa yang sama, ramai perlu menjaga ibu bapa yang semakin berusia sambil mengimbangi tuntutan pekerjaan.

"Kami turut mendengar keprihatinan ini di Singapura. Ramai keluarga terbeban ketika cuba mengimbangi tuntutan yang berbeza ini," kata beliau.

Encik Wong menegaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi akhirnya perlu membawa kepada kehidupan yang lebih baik bagi semua rakyat Singapura.

"Kami mahu Singapura menjadi tempat di mana setiap orang boleh mengejar aspirasi mereka dengan yakin, membina keluarga dengan ketenangan fikiran dan memandang masa depan dengan penuh harapan," tambah beliau.

SINGAPURA KEKAL BERDAYA TAHAN DI TENGAH KETIDAKTENTUAN GLOBAL

Encik Wong berkata Hari Kebangsaan tahun ini disambut dalam keadaan global yang semakin tidak menentu, dengan peperangan yang semakin merebak dan hambatan perdagangan yang meningkat.

Kepercayaan antara negara semakin lemah, manakala kerjasama yang sebelum ini dianggap sebagai perkara biasa tidak lagi boleh dipandang ringan, katanya.

Menurut Encik Wong, kesannya paling ketara dirasakan menerusi ketegangan di Timur Tengah, dengan keadaan di rantau itu kekal tidak menentu.

Kesan krisis tersebut dirasakan di seluruh dunia menerusi harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos bagi isi rumah dan perniagaan.

Meskipun berdepan cabaran itu, ekonomi Singapura kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan kukuh pada separuh pertama tahun ini dan momentum tersebut dijangka berterusan.

Pasaran buruh juga kekal stabil dengan pekerjaan baharu diwujudkan.

Singapura turut meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam sektor semikonduktor.

Namun, Encik Wong berkata keadaan geopolitik lebih luas kekal tidak menentu dan ramai rakyat Singapura bimbang mengenai kesannya terhadap pekerjaan, keluarga dan masa depan mereka.

Meskipun pemerintah tidak dapat mengawal perkembangan di luar Singapura, Encik Wong menegaskan ia boleh menentukan cara negara bertindak balas.

Beliau memberi contoh usaha Singapura membawa pulang rakyatnya dari Timur Tengah serta tindakan pantas pemerintah menyokong isi rumah dan perniagaan apabila krisis tercetus.

Encik Wong turut merujuk kepada pakej sokongan bernilai S$900 juta yang diumumkan pada Julai bagi membantu rakyat Singapura menghadapi ketidaktentuan yang berterusan.

Namun, katanya, tanggungjawab pemerintah bukan sekadar menangani cabaran hari ini, tetapi juga mempersiapkan Singapura untuk masa depan.

Berlandaskan usaha Semakan Strategi Ekonomi yang selesai awal tahun ini, pemerintah sedang memperbaharui pendekatan negara terhadap industri dan perdagangan, memperkukuh daya saing serta membuat pelaburan besar terhadap rakyat Singapura.

MANFAATKAN TEKNOLOGI MENGIKUT ACUAN SINGAPURA

Encik Wong turut menyentuh tentang kepesatan inovasi yang sedang mengubah dunia.

Menurut beliau, Singapura tidak boleh berdiam diri ketika negara lain bergerak ke hadapan, namun pada masa yang sama tidak harus menerima setiap teknologi baharu tanpa pertimbangan.

Singapura akan memanfaatkan kemajuan teknologi mengikut acuannya sendiri, dengan memastikan ia kekal sebagai alat yang memberi manfaat kepada manusia, memperkukuh masyarakat dan memperbaiki kehidupan.

Encik Wong memberi contoh AI, yang sedang mengubah industri dan cara manusia bekerja tetapi pada masa yang sama menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekerja mengenai mata pencarian mereka.

"Di Singapura, kami akan memanfaatkan sepenuhnya AI untuk meningkatkan produktiviti dan mewujudkan pekerjaan yang lebih baik.

"Pada masa yang sama, kami akan melabur dalam kemahiran dan latihan supaya setiap pekerja dapat menyesuaikan diri, berkembang dan maju," kata beliau.

PERLINDUNGAN LEBIH KUKUH BAGI KANAK-KANAK DI ALAM DIGITAL

Encik Wong turut menyentuh kebimbangan ibu bapa mengenai media sosial dan kesannya terhadap kanak-kanak serta golongan muda.

Penggunaan berlebihan boleh menjejas kesejahteraan mental, hubungan dan perkembangan sihat mereka, katanya.

Pemerintah oleh itu akan melaksanakan perlindungan lebih kukuh bagi melindungi kanak-kanak dan membantu mereka mengharungi alam digital dengan selamat dan bertanggungjawab.

Menurut Encik Wong, sedang teknologi terus berkembang, Singapura akan terus membentuk penggunaannya dengan cara yang memberi manfaat kepada rakyat dan memperkukuh masyarakat.

SINGAPURA PERLU KEKAL TERBUKA KEPADA DUNIA

Dalam jangka panjang, Encik Wong berkata setiap generasi perlu memainkan peranan dalam membina masa depan yang lebih baik bagi generasi seterusnya.

Sejak merdeka, Singapura sentiasa mengambil pandangan jangka panjang dengan memikirkan bukan sahaja tahun-tahun mendatang, tetapi beberapa dekad ke hadapan.

Negara akan terus memperkukuh keselamatan tenaga, mengoptimumkan penggunaan tanah yang terhad dan melabur dalam prasarana masa depan.

Namun, membina masa depan juga bermakna Singapura perlu kekal terbuka kepada idea baharu, membina hubungan dengan dunia serta mengalu-alukan mereka yang mahu menyumbang kepada masyarakat dan menjadikan Singapura sebagai tempat tinggal mereka.

Bagi sebuah negara kecil seperti Singapura, Encik Wong berkata kekal terhubung dengan dunia bukan satu pilihan tetapi satu keperluan.

"Apabila keadaan tidak menentu, negara mungkin terdorong untuk melihat ke dalam. Tetapi Singapura tidak mampu berbuat demikian," katanya.

Beliau menegaskan keterbukaan Singapura sudah memberikan manfaat sepanjang sejarah negara dan kekal penting kepada kejayaannya pada tahun-tahun mendatang.

Encik Wong mengakhiri amanatnya dengan menekankan nilai daya tahan, keterbukaan dan perpaduan yang terkandung dalam Ikrar Negara.

Sepanjang sejarah negara, Rakyat Singapura dari semua latar belakang telah bersatu sebagai satu rakyat dan bangsa, satu keyakinan yang dinyatakan oleh Encik Wong telah dilahirkan dalam ikrar kebangsaan yang ditulis 60 tahun lalu.

"Ia mencerminkan kepercayaan yang mudah tetapi kuat: bahawa kita boleh menjadi satu bangsa, terikat bersama bukan oleh kaum, bahasa atau agama, tetapi oleh komitmen bersama antara satu sama lain dan kepada Singapura," katanya.

Ketika dunia menjadi lebih berpecah hari ini, nilai-nilai yang terkandung dalam ikrar itu lebih relevan berbanding sebelumnya, kata Encik Wong.

"Cabaran di hadapan kita adalah nyata. Tetapi begitu juga dengan kekuatan kita - daya tahan kita, keterbukaan kita dan perpaduan kita," katanya.

"Jika kita terus mempercayai antara satu sama lain dan kekal setia kepada cita-cita ikrar kita, kita akan membina Singapura yang lebih baik dan lebih kukuh bersama-sama."

Amanat Hari Kebangsaan tahun ini akan disampaikan dalam empat bahasa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Gan Kim Yong menyampaikan amanat dalam bahasa Mandarin.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad menyampaikannya dalam bahasa Melayu.
Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash pula menyampaikan amanat dalam bahasa Tamil.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita