Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amanat Hari Buruh: PM Lee puji peranan kesatuan bantu pekerja harungi krisis COVID-19

Kesatuan-kesatuan sekerja memastikan pemberhentian pekerja dilakukan secara "adil dan bertanggungjawab" apabila kehilangan pekerjaan tidak dapat dielakkan di tengah-tengah krisis COVID-19, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanatnya sempena Hari Buruh pada Jumaat (30 Apr)

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2021 07:54PM Dikemas Kini : 01 May 2021 12:18AM

SINGAPURA: Kesatuan-kesatuan sekerja memastikan pemberhentian pekerja dilakukan secara "adil dan bertanggungjawab" apabila kehilangan pekerjaan tidak dapat dielakkan di tengah-tengah krisis COVID-19, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanatnya sempena Hari Buruh pada Jumaat (30 Apr)

"Dalam krisis yang luar biasa seperti COVID-19, misi anda untuk melindungi pekerja menjadi kenyataan. Tahun lalu, ketika kehilangan pekerjaan tidak dapat dielakkan, kesatuan pekerja memastikan pemberhentian dilakukan secara adil dan bertanggungjawab," kata Encik Lee.

Majlis Jaminan Pekerjaan di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) secara langsung telah membantu lebih 28,000 orang mendapatkan pekerjaan baru, kata Encik Lee. Selain itu, ia juga memberi bantuan kewangan menerusi Dana Bantuan NTUC (COVID-19) dan bekerjasama dengan Pemerintah untuk melaksanakan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu Bekerja Sendiri (SIRS).

Encik Lee bekata pergerakan buruh mempertahankan "pendirian kolaboratif" dalam mengharungi krisis.

"Ini meyakinkan pekerja untuk berkorban hari ini bagi masa depan yang lebih baik.

"Tanpa semangat memerangi COVID-19 ini secara bersama-sama dan berpantang maut, kita tidak akan berjaya mengharungi kemerosotan terburuk yang dialami sejak merdeka," katanya.

RAMALAN S'PURA LEBIH CERAH BERBANDING 2020

Ramalan masa depan Singapura kini lebih terang jika dibandingkan dengan 2020, kata PM Lee, sambil menambah bahawa kemelesetan global kini tampak kurang berlarutan berbanding apa yang dikhuatiri pada awalnya.

Beliau menambah bahawa sementara Eropah masih bergelut dengan pandemik COVID-19, ekonomi Amerika Syarikat dan China dijangka pulih dengan kukuh pada 2021.

"Trend luaran ini turut menyokong pemulihan ekonomi kita, dan memberi keyakinan kepada masa depan kita," tambah Encik Lee.

Beliau menarik perhatian kadar pengangguran Singapura sedang merosot, dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebelum ini meramalkan pertumbuhan GDP 4 hingga 6 peratus. Kecuali berlaku kegenjotan pada ekonomi sejagat, pertumbuhan pada 2021 "mungkin akan menjangkaui" 6 peratus.

"Ini akan membawa kita kembali ke kedudukan kita sebelum COVID-1," katanya.

UBAH EKONOMI S'PURA UNTUK DUNIA PASCA COVID-19

Pandemik COVID-19 menjadi pemangkin trend seperti pendigitalan, automasi dan kemampanan di semua sektor, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa peluang baru sedang terbuka.

"Untuk merebutnya, kita perlu mengusahakan transformasi ekonomi bagi dunia yang berbeza, pasca COVID-19," tegas Encik Lee. "Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh Bersama sedang mengusahakan transformasi ini, dan saya gembira kerana pergerakan buruh terlibat secara aktif."

Tenaga kerja Singapura menjadi lebih pelbagai, dengan pekerja bebas, usahawan, pekerja matang dan lulusan baru semuanya menghadapi cabaran pekerjaan yang berbeza. Dan setiap kumpulan memerlukan dasar dan huraian "khusus", katanya.

NTUC telah membentuk lebih 600 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), yang bekerjasama dengan firma untuk mengenal pasti jurang keupayaan, mewujudkan pekerjaan baru dan melatih pekerja bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut.

"CTC menunjukkan bagaimana NTUC membuat dirinya relevan, dan mencari huraian baru untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik bagi pekerja," kata Encik Lee.

KEJAYAAN MODEL KERJASAMA TIGA PIHAK

PM Lee menambah bahawa model kesatuan sekerja dan kerjasama tiga pihak di Singapura telah dikritik, terutama di Barat.

"Keanggotaan di kesatuan sekerja terus merosot di kebanyakan masyarakat barat. Sebaliknya, keanggotaan kesatuan sekerja tumbuh secara konsisten di Singapura, disebabkan oleh dasar yang disengajakan dan usaha yang tidak henti-henti," katanya.

Beliau menambah meskipun pergerakan buruh di Barat "tidak seperti keadaannya pada 1960-an", keadaan di Singapura sebaliknya terus mekar.

"Bukti sejarah adalah jelas: Pendekatan tiga pihak dan kerjasama jauh lebih berkesan dalam menjamin kesejahteraan dan kehidupan pekerja berbanding pendekatan konflik," kata PM Lee.

Menurutnya model kerjasama tiga pihak di Singapura "membantu negara ini mengharungi" setiap krisis yang dihadapi Singapura, termasuk krisis kewangan Asia, pandemik SARS dan krisis kewangan global.

"Dengan bekerjasama, mengamalkan tolak ansur, dan menumpukan pada jangka panjang, rakan-rakan kerjasama tiga pihak menemui jalan ke depan dalam suasana sukar, dan memperkukuh kepercayaan dan kerjasama dalam mempersiapkan diri menghadapi ribut akan datang," katanya.

Encik Lee menambah bahawa prinsip yang mendukung kerjasama tiga tidak pernah berubah iaitu "tetap bersatu dan maju bersama".

"Pada Hari Buruh ini, ayuh kita kuatkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama ini, dan membina masa depan Singapura yang lebih cerah untuk 60 tahun akan datang dan seterusnya." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan