Amalan Ramadan boleh diteruskan di masjid, segala pengorbanan berbaloi - Masagos
"Alhamdulilah, segala pengorbanan kita biarpun sukar sepanjang tahun lepas ternyata berbaloi."

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
SINGAPURA: "Alhamdulilah, segala pengorbanan kita biarpun sukar sepanjang tahun lepas ternyata berbaloi."
Demikian dilahirkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam satu catatan di Facebook pada Sabtu (20 Mac).
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan hari ini amalan-amalan Ramadan seperti solat terawih, Qiyyamulai dan kelas agama boleh diteruskan di masjid-masjid, walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad.
Sempena melancarkan kempen Sentuhan Ramadan di Masjid Kampung Siglap, Mufti Dr Naziruddin Mohd Nasir mengingatkan bahawa agama Islam mengutamakan keselamatan dan meskipun umat Islam ingin merebut peluang beribadah dalam bulan suci Ramadan dengan sebaik mungkin, jangan ia memudaratkan diri sendiri dan masyarakat di sekeliling.
"Kita tidak boleh leka. Kita harus terus mematuhi langkah-langkah jarak selamat yang ditetapkan untuk mencegah penimbulan kelompok virus yang baru," kata Encik Masagos yang juga hadir di majlis pelancaran kempen dengan tema ‘Bersama Meraih Keberkatan Ramadan’.
Justeru beliau menggesa jemaah supaya memainkan peranan masing-masing serta memudahkan kerja sukarelawan masjid-masjid di sini.
"Bagi mereka yang tidak berjaya untuk mendapatkan tempat solat, saya memahami kehampaan anda. Tetapi ingatlah bahawa langkah-langkah yang ditetapkan tidak dapat dielakkan demi menjaga keselamatan kita bersama,"ujar Encik Masagos.
Sehubungan itu, beliau mengajak jemaah berkongsi nikmat Ramadan dengan mengambil giliran untuk beribadah di masjid dan mengamalkan tanggungjawab sosial.
"Semoga bulan Ramadan tahun ini memberi kita peluang untuk beribadah sambil mengerjakan kebajikan dengan lebih bermakna lagi," tambah Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.