Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah masuk lokap 30 minggu dera wanita uzur terlantar atas katil

Seorang pembantu rumah hijrahan berusia 39 tahun dihukum penjara 30 minggu, atau sekitar tujuh bulan, kerana mendera seorang mangsa uzur berumur 76 tahun yang tidak dapat bergerak dan terlantar di atas katil. 

Anggaran Waktu Membaca:
Amah masuk lokap 30 minggu dera wanita uzur terlantar atas katil

Pekerja pembantu rumah warga Myanmar, Aye Aye Naing, 39 tahun. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 02:07PM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 02:10PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah hijrahan berusia 39 tahun dihukum penjara 30 minggu, atau sekitar tujuh bulan, kerana mendera seorang mangsa uzur berumur 76 tahun yang tidak dapat bergerak dan terlantar di atas katil.

Aye Aye Naing, mencederakan muka mangsa berkali-kali dengan memukul mulut mangsa menggunakan sebuah jam loceng dan menekan botol air di mulutnya. Tertuduh berkata dia berasa tertekan dan marah dengan anak perempuan mangsa iaitu majikannya.

Pada Isnin (6 Dis), warga Myanmar itu dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada seorang mangsa lemah pada tahun lalu.

Satu lagi tuduhan serupa turut diambil dalam pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, Cik Quek Ah Guat, seorang rakyat Malaysia, mengalami masalah tulang belakang dan menghidap artritis atau keradangan sendi. Rakaman penderaan itu adalah dari kamera litar tertutup (CTTV), yang dimainkan di mahkamah dan menunjukkan Cik Quek terbaring di atas katil hospital di flat HDB anak perempuannya di Yishun Ring Road.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Selene Yap memberitahu mahkamah Cik Quek pada dasarnya tidak berupaya melindungi dirinya daripada penderaan atau pengabaian serta tidak berdaya untuk melindungi dirinya daripada Aye Aye Naing.

Aye Aye Naing tidak mengalami masalah dengan majikannya yang menyediakannya dengan makanan yang secukupnya dan tempat tidur yang sesuai.

Majikan Aye Aye Naing juga melayan wanita itu dengan "sangat elok" dan baik terhadap dirinya tetapi tertuduh menjadi tertekan serta kecewa dengan seorang wanita lain yang memarahinya kerana tidak membuat kerja dengan cara yang betul, kata DPP Yap.

Amah itu mengaku dia menguruskan Cik Quek dengan kasar selama kira-kira enam hingga tujuh bulan. Antaranya, Aye Aye Naing menarik rambut Cik Quek untuk membuatnya duduk dan menampar mulut warga senja itu.

Aye Aye Naing juga menarik leher Cik Quek untuk memindahkan mangsa dari kerusi roda ke katil. Dia turut menarik dengan kasar lengan warga tua itu untuk mendudukkannya.

Cik Quek kemudian mengadu kepada anak perempuannya bahawa Aye Aye Naing memukulnya. Apabila majikan Aye Aye Naing bersemuka dengannya, amah itu berkata Cik Quek terjatuh.

Majikan Aye Aye Naing menerima penjelasannya walaupun berasa ragu tetapi beliau memasang sebuah kamera CCTV di bilik tidur ibunya. Kamera itu merakamkan empat insiden penderaan selama sekitar sebulan.

Anak perempuan Cik Quek kemudian membuat aduan polis pada 21 Ogos 2020.

Para doktor di Hospital Khoo Teck Puat mendapati kesan lebam pada dahi, pipi, dada dan paha Cik Quek.

Berikutan penangkapan Aye Aye Naing, dia dinilai di Institut Kesihatan Mental (IMH) atas perintah mahkamah. Seorang pakar psikiatrik mendapati dia mengalami "gangguan penyesuaian yang tidak terkait secara langsung dengan kes perbicaraannya".

Meskipun kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja biasanya membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali, Aye Aye Naing boleh dijatuhi hukuman seganda lebih berat kerana Cik Quek adalah seorang individu lemah di sisi undang-undang.

Peruntukan untuk hukuman yang dipertingkatkan terhadap jenayah ke atas golongan lemah berkuat kuasa tahun lalu. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan