Skip to main content

Singapura

Amah jaga anak kecil diwajibkan dapatkan vaksinasi sakit campak mulai 1 Sep

Mulai 1 September, pembantu rumah yang bekerja di rumah yang mempunyai anak kecil yang belum mendapatkan vaksinasi penuh bagi demam campak diwajibkan mendapatkan vaksinasi bagi penyakit tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jun 2025 02:21PM Dikemas Kini : 11 Jun 2025 12:31AM
SINGAPURA: Mulai 1 September, pembantu rumah yang bekerja di rumah yang mempunyai anak kecil yang belum mendapatkan vaksinasi penuh bagi demam campak diwajibkan mendapatkan vaksinasi bagi penyakit tersebut.

Langkah mewajibkan suntikan vaksin itu bertujuan melindungi "kanak-kanak kecil yang belum divaksin yang berisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan serius akibat penyakit demam campak", menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (6 Jun).

Langkah itu diperkenalkan menyusuli lonjakan dalam jumlah kes demam campak di Amerika Syarikat baru-baru ini.

10 kes demam campak dilaporkan di Singapura pada tahun ini setakat minggu yang berakhir pada 10 Mei, menurut buletin mingguan penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan (MOH).

Bilangan tersebut hanya kurang satu kes berbanding keseluruhan jumlah kes yang dicatatkan sepanjang 2024.

Para majikan dengan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun perlu mengisytiharkan butiran tersebut apabila mendapatkan permit kerja bagi pekerja hijrahan atau memperbaharui permit kerja mereka:
 
  • Sama ada pembantu rumah itu sudah pun mendapatkan vaksin atau mempunyai imuniti terhadap demam campak
  • Sama ada kesemua kanak-kanak bawah usia tujuh tahun telah menerima vaksin lengkap
  • Jika pembantu rumah itu belum mendapatkan vaksin tetapi aturan temu janji vaksinasi telah dibuat

Menurut MOM, pembantu rumah itu tidak perlu mendapatkan vaksinasi sekiranya mereka mempunyai daya imun terhadap demam campak atau jika kesemua kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di rumah majikannya sudah pun mendapatkan vaksinasi lengkap bagi demam campak.

"Memandangkan daya imun terhadap demam campak boleh dibina sama ada melalui jangkitan lama atau vaksinasi, majikannya boleh mengemukakan bukti dokumen kepada MOM, seperti bukti sijil vaksinasi, keputusan ujian serologi, atau pengesahan makmal mengenai jangkitan lama."

Para majikan dengan pembantu rumah sedia ada dinasihatkan supaya menyemak status imun pekerja mereka sebelum pembaharuan permit dilakukan.

Seseorang individu dianggap sudah pun divaksin sepenuhnya jika mereka sudah mendapatkan dua suntikan dos vaksin demam campak, beguk dan rubela (MMR) pada selang masa sekurang-kurangnya 28 hari antara setiap dos.

Para pembantu rumah boleh mendapatkan vaksin itu di klinik-klinik GP swasta.

Kos bagi mendapatkan vaksinasi demam campak perlu ditanggung oleh para majikan.

Demam campak adalah penyakit virus yang sangat mudah berjangkit dan disebarkan melalui udara.

Vaksinasi demam campak diwajibkan di Singapura sejak 1985.

Menurut Jadual Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan (NCIS), dua dos vaksin MMR disarankan bagi kanak-kanak pada usia 12 bulan dan sekali lagi pada usia 15 bulan.

“Walaupun kadar vaksinasi dan daya imun penduduk di Singapura adalah tinggi, kes-kes sporadik dan kelompok kecil demam campak masih boleh berlaku dalam kalangan individu yang kurang imuniti disebabkan sifat penyakit ini yang sangat mudah berjangkit,” kata MOM.

"Disebabkan oleh kedudukan Singapura sebagai hab perjalanan utama, peningkatan dalam jumlah kes campak di peringkat global dan serantau terus menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam, khususnya kepada mereka yang kurang imuniti terhadap penyakit tersebut.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita