Skip to main content

Singapura

Amah Indonesia, majikan S'pura sambut baik skim tabungan bulanan S$10-60 gaji pembantu rumah

"Bagus untuk kita, untuk keluarga misalnya ada tabunganlah untuk masa depan nanti" - Siti Zunipah, pembantu rumah Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Para pekerja pembantu rumah Indonesia di Singapura, majikan mereka dan agensi pembantu rumah umumnya menyambut dengan positif satu skim baru, yang menggalak pembantu rumah Indonesia menabung antara $10 hingga $60 setiap bulan.

Bercakap kepada BERITAMediacorp, mereka antara lain menyifatkan Skim Jaminan Hari Tua (JHT) itu sebagai "langkah bijak" dan "bagus".

Skim tersebut dilancarkan untuk lebih 120,000 pekerja pembantu rumah Indonesia di Singapura, di Kedutaan Indonesia hari ini (9 Dis).

Duta Besar Indonesia ke Singapura, Ngurah Swajaya. 

Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Ngurah Swajaya.

PARA PEMBANTU RUMAH BERSIKAP TERBUKA TERIMA SKIM

Bagi Purminah Jasman, 34 tahun, yang sudah bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura selama setahun setengah, skim itu dianggapnya amat bermanfaat demi masa depan diri sendiri dan juga keluarganya.

"Kita boleh mengumpulkan secara sedikit sedikit. Mungkin di masa depan kita tak akan selamanya kerja di sini kan. Boleh jadi itu nanti buat masa depan anak-anak juga," Purminah memberitahu BERITAMediacorp.

Purminah Jasman, pembantu rumah Indonesia yang sudah bekerja di Singapura selama 17 bulan.

Purminah Jasman, pembantu rumah Indonesia yang sudah bekerja di Singapura selama 17 bulan.

Seorang lagi pembantu rumah, Siti Zunipah Sunarti, 34 tahun, percaya bahawa meskipun skim itu tidak diwajibkan, bayaran bulanan yang perlu dikeluarkan itu tidak menjejas pendapatan pembantu rumah memandangkan ia boleh dibuat sedikit demi sedikit.

"Menurut saya boleh juga. Bagus untuk kita, untuk keluarga misalnya ada tabunganlah untuk masa depan nanti. Selagi ada manfaat untuk kita, untuk keluarga i'Allah.

"Ia tidak menjejas bagi saya kerana secara sedikit-sedikit, beransur, tak sekali banyak gitu. Jadi bolehlah. Insya Allah," kata Siti Zunipah, yang sudah setahun bekerja di Singapura.

Siti Zunipah Sunarti, 34 tahun, pembantu rumah Cik Norjanah Ramli.

Siti Zunipah Sunarti, 34 tahun, pembantu rumah Cik Norjanah Ramli.

MAJIKAN: AMAH MAHU IKUT SERTA, SUMBANG KEPADA SKIM ITU?

Yang pasti, skim itu yang dikendalikan agensi sosial di Indonesia, iaitu Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS), tidak mewajibkan sumbangan atau 'caruman' dari para majikan pekerja pembantu rumah negara itu di sini. Jadi, tiada kos tambahan dibabitkan.

Mengulas pengumuman skim tersebut, majikan Siti Zunipah, Cik Norjanah Ramli memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau mengalu-alukan skim tersebut. Malah ia boleh dijadikan sebagai satu insentif.

"Saya rasa sebagai majikan jika pembantu mereka telah bekerja lama ataupun menunjukkan prestasi yang baik mungkin inisiatif daripada kita, kita boleh menyumbang setiap bulan bagi pihak merekalah," kata Cik Norjanah.

Cik Norjanah Ramli mempunyai seorang pembantu rumah Indonesia yang sudah bekerja dengannya selama setahun.

Cik Norjanah Ramli majikan Siti Zunipah.

Persoalannya bagi beliau adalah sama ada para pembantu rumah sendiri - yang diberi gaji antara S$550 dengan S$600 sebulan - bersedia untuk menyumbang wang setiap bulan dalam skim sukarela itu.

"Mungkin pada kita S$10 hingga S$60 itu adalah sedikit tapi itu adalah satu jumlah yang besar (bagi mereka)," kata ibu kepada empat orang anak itu.

(Gambar-gambar: Norjanah Ramli)

SKIM 'MEMANG BAGUS', TAPI BERGANTUNG KEPADA INDIVIDU

Singapura merupakan negara pertama, di mana skim tabungan Jaminan Hari Tua itu dilaksanakan, sebelum diperkenalkan ke negara-negara lain.

Pengarah Lemann Employment Agency Pte Ltd, Sulaiman Salim.

Pengarah Lemann Employment Agency Pte Ltd, Sulaiman Salim.

Memberikan reaksi beliau, Pengarah Lemann Employment Agency Pte Ltd, Sulaiman Salim, memuji langkah Indonesia untuk memberikan perlindungan tambahan kepada para pembantu dari negara itu sebagai "memang bagus".

"Skim ini terus terang saya bilang satu langkah yang bijak, yang bagus. Mengambil berat nasib pembantu atau pekerja mereka yang tinggal di luar negara," kata Encik Sulaiman yang sudah 20 tahun menceburi bidang pengambilan pembantu rumah.
Menurut Encik Sulaiman, sebahagian besar pembantu rumah bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana mereka datang dari keluarga susah.

Namun beliau juga menarik perhatian bahawa pada akhirnya penyertaan pembantu rumah kepada skim itu masih bergantung kepada keadaan diri pekerja itu sendiri. Ada yang berhutang untuk bekerja di Singapura selain pelbagai masalah lain.

"Kadang-kadang (mereka) telefon 'Pak mahu pinjam duit. Anak saya mahu kuliah, mahu sekolah'. Gaji dia tak mencukupi. Apa lagi kita nak potong lagi (bagi skim JHT)," kata Encik Sulaiman memberitahu BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Norjanah Ramli)

Lantaran itu, seperti Cik Norjanah, Encik Sulaiman juga menggalakkan para majikan menimbangkan untuk membantu menyumbang kepada skim JHT pekerja pembantu rumah mereka yang sudah menunjukkan prestasi cemerlang dan lama bekerja di Singapura.

"Menurut saya, pembantu yang sungguh-sungguh mahu kerja. Dua tahun, ada yang empat tahun, enam tahun, mereka ini yang harus kita bantu," tambah Encik Sulaiman.

Hari ini (9 Dis) satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) dengan Kedutaan Besar Indonesia di Singapura bagi melaksanakan JHT.

MOU sudah ditandatangani. (Gambar: Kedutaan Indonesia di Singapura)

MOU sudah ditandatangani. (Gambar: Kedutaan Indonesia di Singapura)

LAPORAN BERKAITAN:  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita