Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah Indonesia dipenjara 9 bulan kerana tolak, pijak kaki kanak-kanak

Oleh kerana berasa tertekan dengan masalah keluarga di kampung halaman, Suliana Kasim Dapok melepaskan perasaannya itu dengan memijak anak lelaki majikannya yang berusia satu setengah tahun dan menolaknya ke atas lantai selepas kanak-kanak itu muntah di atas permaidani.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah Indonesia dipenjara 9 bulan kerana tolak, pijak kaki kanak-kanak

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Apr 2021 02:52PM Dikemas Kini : 05 Apr 2021 02:53PM

SINGAPURA: Oleh kerana berasa tertekan dengan masalah keluarga di kampung halaman, Suliana Kasim Dapok melepaskan perasaannya itu dengan memijak anak lelaki majikannya yang berusia satu setengah tahun dan menolaknya ke atas lantai selepas kanak-kanak itu muntah di atas permaidani.

Perbuatan pembantu rumah berusia 42 tahun itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di ruang tamu.

Pada Isnin (5 Apr), pembantu rumah warga Indonesia itu yang mempunyai tiga orang anak, dikenakan hukuman penjara sembilan bulan atas perbuatannya itu.

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, dengan tuduhan ketiga diambil kira dalam menentukan hukuman.

Suliana melakukan kesalahan itu pada 8 Mei tahun lalu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan apabila individu-individu dilarang keluar rumah bagi urusan tidak penting bagi membendung penularan COVID-19.

Suliana mula bekerja untuk keluarga itu pada Oktober 2018 dan ditugaskan untuk menjaga empat orang kanak-kanak berusia antara satu dengan tujuh tahun serta melakukan kerja-kerja rumah.

Pada hari kejadian, kanak-kanak lelaki itu yang tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya, termuntah di permaidani ruang tamu pada kira-kira pukul 11.00 pagi.

Sedang Suliana membersihkan permaidani itu, kanak-kanak tersebut berjalan ke arahnya.

Oleh kerana tidak mahu kanak-kanak itu terkena bahan cuci yang sedang digunakan, Suliana menyiku muka kanak-kanak itu, menyebabkannya terjatuh lalu menangis.

Suliana kemudian mengelap permaidani itu lalu berjalan ke dapur.

Oleh kerana berang kerana perlu membersihkan permaidani itu dan menjangkakan kanak-kanak itu mungkin berpaut pada kakinya sedang dia berjalan, Suliana memijak lutut kanan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu kelihatan menangis kesakitan disebabkan perbuatannya itu.

Sekitar 15 minit kemudian, mereka berada di ruang tamu dan Suliana sedang duduk di sofa sambil melipat baju.

Suliana mengisyaratkan kepada kanak-kanak itu supaya datang ke arahnya. Namun, dia kemudian menolak kepala kanak-kanak itu ke arah lantai menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh, sebelum dia menarik kaki kanak-kanak itu ke arahnya untuk memeriksa lampin yang dipakai.

Sedang dia berjalan untuk menyusun pakaian yang sudah dilipat, Suliana sekali lagi memijak kaki kanan kanak-kanak itu.

Dia berbuat demikian kerana dia berasa "tertekan dan sedih kerana tentang peribadi berkaitan keluarganya di Indonesia", kata Timbalan Pendakwa Raya Ben Mathias Tan.

Ibu kanak-kanak itu menghubungi polis pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari pada hari yang sama untuk melaporkan kes penderaan fizikal.

Beliau kemudian membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK yang mana doktor menemui kesan lebam pada bahagian tulang belakang kanak-kanak itu.

Bagi setiap tuduhan penganiayaan, Suliana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lapan tahun atau didenda sehingga S$8,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan