Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dituduh bunuh majikan 'tidak dapat kawal' tangan daripada terus menikam

Seorang pembantu rumah yang dibicarakan kerana  membunuh majikannya memberitahu mahkamah pada Khamis (8 Okt) bahawa dia tidak boleh mengawal tangannya "yang terus menikam". 

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dituduh bunuh majikan 'tidak dapat kawal' tangan daripada terus menikam

Siasatan polis di Telok Kurau. (Gambar fail: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 08 Oct 2020 10:36PM Dikemas Kini : 08 Oct 2020 10:38PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang dibicarakan kerana membunuh majikannya memberitahu mahkamah pada Khamis (8 Okt) bahawa dia tidak boleh mengawal tangannya "yang terus menikam".

Warga Indonesia Daryati, yang berusia 28 tahun, meninggalkan hampir 100 luka daripada tikaman pisau di badan mangsa.

Menurutnya dia tidak berniat untuk membunuh Cik Seow Kim Choo, 59 tahun, dan hanya mahu mengugutnya dengan mengelar wajah mangsa sehingga dia boleh mendapatkan kunci bagi peti selamat di mana pasportnya disimpan.

Daryati dituduh membunuh majikannya dengan menikam dan mengelar muka, kulit kepala dan leher mangsa berkali-kali pada malam tanggal 7 Jun 2016. Tuduhan kedua kerana cuba membunuh suami Cik Seow, Encik Ong Thiam Soon - yang memecah masuk ke dalam tandas apabila beliau terdengar bunyi kecoh - digantung buat sementara waktu.

Daryati pada asalnya disabit kesalahan membunuh tetapi kemudian sabitan itu diketepikan setelah dia memilih untuk membuat pembelaan terhadap tanggungjawab yang dikurangkan dan kes itu dibicarakan semula.

Bagi permohonan sedemikian, tertuduh mesti mengalami keadaan mental yang menjejas tanggungjawab pemikirannya sehingga menyebabkan kematian.

Daryati memberi keterangan pada Khamis dan disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Kok Weng, yang mendakwa dia mempunyai pengetahuan dan kawalan penuh terhadap tindakannya ketika menikam Cik Seow.

Menjawab menerusi seorang jurubahasa, Daryati berulang kali mengekalkan pendiriannya bahawa dia tidak berniat untuk membunuh majikannya empat tahun lalu di rumah Cik Seow di Telok Kurau. Menurutnya dia dalam "keadaan sangat marah" dan tidak boleh mengawal tangannya.

Daryati berkata dia hanya mahu mendapatkan semula pasportnya yang dikunci dalam peti selamat dan hanya Cik Seow serta Encik Ong yang mempunyai kuncinya. Dia bekerja dengan keluarga tersebut sekitar dua bulan ketika itu.

Bagaimanapun, pendakwa menarik perhatian bahawa Daryati, dalam kenyataannya kepada polis, berkata dia akan membunuh Cik Seow jika beliau tidak memulangkan pasportnya.

Daryati bersetuju dengan pendakwa bahawa dia menyasarkan Cik Seow dan bukannya Encik Ong kerana lebih mudah bagi lelaki itu untuk menahannya.

Pembantu rumah itu merindui halaman kampung dan kekasihnya yang berada di Hong Kong. Daryati berkata dia mahu datang ke Singapura untuk bekerja tetapi terpaksa berbuat demikian demi ibu bapanya. Daryati berkata majikannya melayaninya dengan baik tetapi mendakwa bahawa Cik Seow tidak membenarkannya pulang ke Indonesia.

HARI INSIDEN, MENURUT DARYATI

Pada sekitar 8.30 malam tanggal 7 Jun 2016, Daryati mengalihkan tumpuan Encik Ong agar dia turun ke bawah sebelum wanita itu mendekati Cik Seow di bilik tidur utama dengan sebilah pisau panjang yang dismbunyikan dalam seluar panjangnya.

Dia mengacukan pisau ke leher Cik Seow dan berkata dia mahukan pasportnya untuk pulang ke Indonesia.

Dalam kenyataannya kepada polis, Daryati berkata Cik Seow menjerit dengan kuat dalam Mandarin dan bergelut apabila dia cuba untuk menarik majikannya itu ke arah peti di mana pasportnya disimpan.

Bimbang jika Encik Ong akan mendengar jeritan Cik Seow, Daryati mengheret wanita tua itu ke arah tandas, menurut pembantu rumah itu dalam kenyataannya kepada polis.

Apabila mereka berada di dalam tandas, Daryati berkata dia mengelar leher wanita tua itu dengan lantai menjadi licin akibat lumuran darah tersebut. Dia kemudian menikam dan mengelar sekali lagi leher majikannya. Cik Seow rebah dan Daryati berkata dia menolak wanita tua itu hingga kepalanya terhentak di lantai. Daryati kemudian duduk di atas majikannya itu sebelum menikamnya berkali-kali di muka.

Daryati berkata pada ketika itu, dia tidak ingat berapa banyak kali dia menikam Cik Seow.

Di mahkamah, Daryati mengaku dia yang mencederakan majikannya pada waktu itu.

Pendakwa, Encik Wong, bertanya mengapa Daryati tidak segera melarikan diri dan sebaliknya mengambil pisau pendek dari bawah sinki untuk terus menikam Cik Seow. Luka akibat tikaman itu begitu kuat sehingga tiga daripada tikaman tersebut mematahkan tulang muka mangsa.

"Pada waktu itu, saya dalam keadaan sangat marah dan tidak dapat mengawal tangan saya," jawab Daryati sambil menambah dia "berasa kosong" kerana tidak boleh pulang ke Indonesia.

TINDAKAN KEJAM DAN PENTINGKAN DIRI SENDIRI: PENDAKWA

Encik Wong berkata tindakan Daryati boleh disimpulkan dengan satu perkataan: Kejam.

"Disebabkan niat mementingkan diri sendiri anda untuk mengambil pasport dan duit anda daripada majikan anda, anda menikamnya dengan sunguh kejam di mukanya, lehernya, banyak kali sampaikan dia berdarah sehingga mati," kata beliau.

Daryati mengulangi sekali lagi bahawa dia pada awalnya hanya mahu mendapatkan pasportnya tetapi tidak dapat mengawal amarahnya atau "mengawal tangan untuk menikam Puan".

Perbicaraan disambung. Jika disabit kesalahan membunuh, Daryati boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup. Pendakwaan mengesahkan sebelum ini mereka tidak akan memohon hukuman mati ke atas Daryati jika dia berpegang kepada kenyataan fakta yang dipersetujui.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan