Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dipenjara kerana pukul bayi berusia 1 bulan untuk 'lepaskan tekanan'

Seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang memukul seorang bayi satu bulan dengan begitu kuat sehingga ia kedengaran dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bertindak sedemikian untuk "melepaskan tekanannya", menurut Mahkamah pada Rabu (21 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dipenjara kerana pukul bayi berusia 1 bulan untuk 'lepaskan tekanan'

(Gambar hiasan: Peter Parks/AFP)

Diterbitkan : 21 Oct 2020 02:41PM Dikemas Kini : 21 Oct 2020 02:45PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang memukul seorang bayi satu bulan dengan begitu kuat sehingga ia kedengaran dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bertindak sedemikian untuk "melepaskan tekanannya", menurut Mahkamah pada Rabu (21 Okt).

Lana Ngizatul Mona, 26 tahun, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada Rabu selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak.

Mahkamah diberitahu Lana bekerja untuk ibu mangsa untuk kira-kira dua bulan apabila kejadian itu berlaku. Dia ditugaskan untuk menjaga empat orang anak majikannya di samping menyelesaikan kerja-kerja rumah.

Sekitar 7.30 pagi pada 30 April lalu, ibu mangsa berada di dalam biliknya apabila beliau terdengar bayinya menangis dengan kuat di ruang tamu.

Beliau memeriksa rakaman CCTV yang dipasang di ruang tamu dan ternampak Lana memukul anak lelakinya itu sebanyak tiga kali. Lana, yang duduk di atas sebuah kerusi, ketika itu sedang mendukung bayi berkenaan untuk memberinya susu.

Dalam rakaman itu, Lana dilihat menggunakan pergelangan tangannya untuk memukul bayi tersebut sekali di bahagian belakangnya yang membuatnya menangis. Dia kemudian menggunakan buku lima untuk memukul bayi itu dua kali di bahagian belakangnya, menyebabkannya menangis sekali lagi.

"Kesemua tiga pukulan itu kuat dan kesan daripadanya dapat didengar," kata pendakwa.Tertuduh mengaku memukul mangsa untuk melepaskan tekanannya."

Ibu bayi lelaki itu membawa anaknya ke hospital pada hari yang sama dan dia didapati mempunyai kesan lebam sebesar 2 sentimeter kali 2 sentimeter di bahunya akibat pukulan Lana.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Pei Wei meminta Lana dipenjara sekurang-kurangnya sembilan bulan dengan berkata bahawa kekuatan pukulan itu boleh didengar dalam rakaman video dan menyebabkan lebam.

Hukuman itu wajar untuk mencerminkan bahaya yang ditimbulkan kepada bayi lelaki itu dan "kebersalahan tertuduh dalam menganiaya anak yang tidak berdaya yang diletak di bawah penjagaannya atas dasar percaya," kata Tan.

Lana, yang menangis semasa perbicaraan berlangsung, meminta hukuman lebih ringan agar dia boleh pulang ke pangkuan keluarganya. Amah itu berkata dia menyesal dan mempunyai seorang anak untuk disara.

Bagi kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak dengan melakukan penderaan fizikal terhadapnya, dia boleh dipenjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan