Skip to main content

Singapura

Amah dipenjara kerana dera warga emas hidap demensia

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dipenjara kerana dera warga emas hidap demensia

Gambar fail: Calvin Oh

Diterbitkan : 04 Jun 2025 11:29PM Dikemas Kini : 04 Jun 2025 11:32PM
SINGAPURA: Seorang amah yang mendera warga emas berusia 90 tahun yang menghidap demensia dan berada dalam jagaannya, dihukum penjara setahun pada Rabu (4 Jun).

Perbuatan warga Myanmar, Kyal Kyal Tun, mendera wanita itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Dia dirakam menggigit tangan wanita itu, mencekiknya dan menolaknya terhadap sofa.

Mangsa juga dirakam menjerit kesakitan dan meminta bantuan.

Kyal Kyal Tun, 39 tahun sebelum ini mengaku bersalah atas tiga tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap individu yang mudah terjejas, dengan empat tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Amah itu digajikan oleh cucu lelaki mangsa untuk menjaga mangsa dan juga suaminya yang berusia 91 tahun - yang turut menghidap demensia - dari September atau Oktober 2024.

Pasangan warga emas itu yang tinggal sebumbung dengan Kyal Kyal Tun, menghadapi kesukaran bergerak dan kedua-duanya perlu memakai lampin.

Pada malam 3 Januari 2025, Kyal Kyal Tun memberitahu salah seorang anggota keluarga mangsa bahawa suami mangsa terjatuh di dapur.

Namun, cucu lelakinya memeriksa rakaman CCTV dan mendapati amah tersebut mendera mangsa pada hari itu.

Beliau juga mendapati datuknya terjatuh buat kali kedua di bilik tidurnya tetapi dibiarkan selama 20 minit oleh Kyal kyal Tun.

Pada keesokan hari, lelaki itu membawa kedua-dua datuk dan neneknya ke hospital dan menghubungi polis.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Jika kesalahan itu dilakukan terhadap individu yang rentan, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman dua kali ganda lebih berat daripada hukuman maksimum.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita