Amah dipenjara; curi beg, barang kemas berjenama bernilai lebih S$30,000
SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang dapat bercuti pada setiap hari Ahad, mempunyai bilik sendiri dan bergaji S$750 sebulan mencuri beg dan barang kemas berjenama bernilai lebih S$30,000 daripada majikannya.
Dia menjual barangan yang dicuri untuk mendapatkan wang tunai kerana dia memerlukan wang itu bagi pembedahan anak lelakinya di Filipina serta untuk membayar hutang dengan kawan-kawannya di Singapura.
Apabila dia diberkas, wanita Filipina yang berumur 28 tahun itu ditempatkan di sebuah hostel sementara menunggu kes mahkamahnya. Dia mencuri lagi, kali ini daripada rakan sebiliknya, seorang warga asing.
Meneses Princess Joy Domingo dijatuhi hukuman satu tahun dan dua minggu penjara pada Isnin (14 Feb). Domingo yang sudah ditahan reman sejak Disember lalu mengaku bersalah atas dua tuduhan, iaitu mencuri dan mencuri oleh seorang pekerja, dengan tuduhan ketiga dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah mendapati bahawa Domingo bekerja dengan seorang wanita Korea Selatan yang berumur 41 tahun di sebuah unit kodominium di tengah Singapura pada Mei 2021.
Majikannya menyimpan pelbagai jenis barang kemas dan beg tangan di dalam almari pakaian yang tidak berkunci di dalam bilik tidur beliau. Almari pakaian itu tidak pernah dikunci, kata pendakwa raya.
Domingo menjual beberapa beg berjenama kepada rakan dan kenalannya. Dia menjual barang kemas itu kepada sebuah kedai di Lucky Plaza.
Dia memperoleh S$10,280 daripada penjualan barangan itu dan menghantar sejumlah wang ke Filipina. Dia menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk melunaskan hutang yang dipinjamkan oleh rakan-rakannya.
Pada Jun 2021, majikan Domingo menyedari bahawa dua cincin beliau hilang.
Pada 19 Ogos 2021, majikan Domingo mendapati bahawa beberapa beg tangan berjenama Chanel milik beliau hilang. Beliau kemudian mengesyaki Domingo sudah mencuri beg-beg itu dan membuat laporan polis.
MENCURI SEKALI LAGI SELEPAS DITEMPATKAN DI SEBUAH HOSTEL
Domingo mengaku bersalah atas tuduhan itu. Sewaktu menunggu kes mahkamahnya, dia menginap di sebuah hostel bersama seorang wanita warga China berusia 37 tahun, yang tidak dikenali.
Dia mencuri S$400 daripada wanita itu. Wanita itu enggan membuat laporan polis pada mulanya kerana tidak mahu merumitkan keadaan. Namun, selepas Domingo mencuri S$50 daripada dompet wanita itu pada Oktober 2021, beliau kemudian membuat aduan polis.
Sewaktu sesi soal siasat oleh polis atas kesalahan tersebut, Domingo pada mulanya mendakwa dia tidak melakukannya, dan dia tidak tahu di mana rakan sebiliknya menyimpan wang beliau.
Dia mengakui jenayah itu hanya pada sesi ketiga.
Pendakwa raya mengusulkan penjara 15 hingga 18 bulan atas kesalahan mencuri oleh seorang pekerja dan dua hingga empat minggu penjara atas kesalahan mencuri daripada rakan sebiliknya. Dia tidak membuat keterangan sama ada akan menjalankan hukuman penjara secara berturut-turut.
Atas kesalahan mencuri oleh seorang pekerja, Domingo boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda. Oleh kerana pertuduhan sudah digabungkan, denda maksimum boleh digandakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.