Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dipenjara 6 bulan kerana beri susu dibubuh ubat Anarex kepada bayi 13 bulan

Gara-gara penat dan mahu bayi yang dijaganya tidur nyenyak sepanjang malam, seorang pembantu rumah tergamak memberi susu yang dibubuh ubat Anarex kepada bayi tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gara-gara penat dan mahu bayi yang dijaganya tidur nyenyak sepanjang malam, seorang pembantu rumah tergamak memberi susu yang dibubuh ubat Anarex kepada bayi tersebut.

Amah warga Indonesia berusia 32 tahun itu tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa. Dia dihukum penjara enam bulan pada Selasa (2 Nov).

Wanita itu mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan bahan yang melemahkan.

Mahkamah diberitahu bahawa amah itu diambil bekerja oleh ibu bayi berkenaan untuk menjaga anaknya dan melakukan kerja rumah.

Tertuduh bekerja untuk keluarga itu selama sekitar 14 bulan sebelum kejadian itu dan dia tidak mempunyai sebarang aduan tentang pekerjaannya melainkan berasa penat kerana perlu menjaga bayi berkenaan. Namun, dia tidak memberitahu majikannya tentang keadaan itu.

Pada kira-kira 8.30 malam pada 5 Disember tahun lalu, ibu bayi itu menyuruh amah tersebut memberi susu kepada bayi yang berusia 13 bulan ketika itu.

Amah itu mengambil botol susu dari dapur, yang sudah mengandungi susu sebanyak 100 milimeter. Dia kemudian masuk bilik tidurnya sendiri untuk mengambil pil Anarex dari almari. Anarex merupakan sejenis ubat mengantuk yang lazimnya diberikan bagi merawat demam, selesema dan tahan sakit.

Tertuduh tahu bahawa Anarex merupakan bahan melemahkan yang juga boleh menyebabkan seseorang berasa mengantuk, kerana dia pernah mengambilnya beberapa kali. Dia merancang untuk memberi ubat Anarex itu kepada bayi tersebut pada lewat petang supaya bayi itu akan tidur nyenyak sepanjang malam dan tidak perlu diberi susu.

Amah itu meletakkan pil Anarex tersebut ke dalam botol susu lalu memberikannya kepada bayi itu. Bayi berkenaan minum sekitar 90 milimeter susu yang diberikan lalu terlelap sekitar 20 minit kemudian. Amah itu kemudian meletakkannya ke dalam katil bayi sebelum dia pergi ke dapur untuk membasuh botol susu berkenaan.

Sementara itu, sepupu bayi itu ternampak sesuatu yang berwarna biru dan putih di dalam botol susu itu lalu memaklumkan hal itu kepada ibu bayi berkenaan.

Beliau memeriksa votol susu tersebut dan menemui pil Anarex di dalamnya.

Apabila tertuduh ditanya mengenai pil tersebut, dia berbohong tidak tahu kerana berasa takut.

Tertuduh mengaku membubuh pil Anarex ke dalam botol susu itu setelah ditanya lagi dan meminta maaf.

Ibu bayi itu kemudian menghubungi polis. Anaknya diperiksa di hospital pada keesokan hari dan didapati berada dalam keadaan baik dan stabil.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan, sambil menarik perhatian tertuduh merancang perbuatan itu dan tindakannya itu mencabuli amanah yang diberikan kerana tertuduh ditugaskan untuk menjaga mangsa.

Dalam rayuannya, amah itu berkata dia hanya mahu bayi itu berehat supaya dia juga boleh berehat. Dia juga sedar apa yang dilakukannya itu adalah salah dan meminta maaf serta meminta hukuman lebih ringan.

Menurutnya sejak ditahan, keadaan bertambah sukar kerana ayahnya sedang sakit tenat di Indonesia. Dia juga satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga setelah ditinggalkan suami dan ibunya kini dalam keadaan kritikal setelah dijangkiti COVID-19.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan bahan yang melemahkan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebatan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan