Skip to main content

Singapura

Amah dipenjara 14 bulan kerana berulang kali masukkan tangan kanak-kanak ke dalam air mendidih

Seorang wanita berusia 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada Rabu (28 Okt) kerana sengaja mencederakan seorang kanak-kanak di bawah jagaannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dipenjara 14 bulan kerana berulang kali masukkan tangan kanak-kanak ke dalam air mendidih

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 11:35PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 11:37PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada Rabu (28 Okt) kerana sengaja mencederakan seorang kanak-kanak di bawah jagaannya.

Tertuduh bekerja sebagai pembantu rumah semasa kejadian itu, apabila dia memasukkan tangan mangsa ke dalam air mendidih berulang kali. Mangsa berusia 16 bulan ketika itu itu.

Semasa kejadian itu berlaku pada 14 Jan, mangsa berada di dalam rumah bersama kakaknya yang berusia lapan tahun ketika ibu bapa mereka keluar.

Nama kesemua pihak terlibat dalam kes ini tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti mangsa, yang bawah umur.

Tertuduh bekerja dengan majikannya sejak 8 Dis dan antara tugasnya ialah menjaga kedua-dua kanak-kanak tersebut. Setelah dua minggu bekerja dengan keluarga tersebut, tertuduh memberitahu majikannya bahawa dia ingin bekerja untuk majikan lain kerana berasa tidak mampu menjaga kanak-kanak.

Majikannya menghubungkan tertuduh dengan ejen tempat dia diambil kerja. Dia diberitahu akan perlu menanggung kos pemindahan majikan lantas memilih untuk terus bekerja dengan keluarga tersebut.

Pada sekitar pukul 5.15 petang pada hari kejadian, pembantu rumah itu sedang masak apabila mangsa mula menangis di dalam bilik. Pembantu rumah itu membawa kanak-kanak tersebut ke dapur dan mendukungnya sambil dia terus memasak.

Rakaman CCTV sepanjang satu minit dimainkan di mahkamah, menunjukkan tertuduh tiba-tiba mengambil tangan kiri mangsa dan memasukkannya ke dalam periuk panas.

Kanak-kanak itu menjerit, tetapi tertuduh terus memegang tangannya dan memasukkan ke dalam air tersebut sekurang-kurangnya sekali lagi, sebelum meletakkan tangan kanak-kanak tersebut di bawah paip air.

Apabila mangsa mula menangis, kakak mangsa keluar dari bilik air. Tertuduh memberitahu kakak mangsa bahawa adiknya telah memasukkan tangannya ke dalam periuk semasa dia didukung.

Kakak mangsa menelefon ayahnya, yang memberitahunya untuk menyapu krim lidah buaya dan ubat gigi di tangan adiknya.

Ayah mangsa pulang ke rumah pada sekitar pukul 6.40 petang, membawa mangsa ke klinik berdekatan dan kemudian ke Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) untuk dirawat.

Mangsa mengalami kelecuran tahap dua di tangannya. Luka-lukanya sudah sembuh sepenuhnya tetapi dia akan terus mempunyai parut akibat kelecuran.

Hakim daerah Ong Chin Rhu menjatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan ke atas bekas pembantu rumah itu yang berkuat kuasa dari 8 Apr lalu.

Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan menerusi bahan panas, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita