Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dijel; hafal nombor PIN kad ATM wanita dan keluarkan S$18,000

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah hijrahan yang digajikan seorang lelaki untuk menjaga ibunya mencuri kad ATM warga tua itu dan menggunakannya untuk mengeluarkan S$18,000 dengan 36 percubaan.

Warga Indonesia Anastasia Paba yang berusia 35 tahun dihukum penjara selama 25 minggu pada Selasa (15 Feb) atas satu tuduhan mencuri dan satu lagi tuduhan mencuri di tempat tinggal. 

Mahkamah dimaklumkan bahawa Paba mula bekerja dengan anak mangsa berusia 79 tahun itu pada Novemner 2020. Dia membersihkan rumah flat setiap hari, termasuk bilik mangsa dan berniat untuk mencuri kad UOB mangsa untuk mengeluarkan wang. 

Paba akan mengikuti mangsa ke ATM untuk mengeluarkan wang jika perlu. Dia akan memerhatikan warga tua itu menekan butang PIN dan mendapat tahu kod tersebut semasa satu urus niaga. 

Antara 16 Disember 2021 hingga 19 Januari 2022, Paba mencuri kad UOB daripada beg tangan mangsa itu beberapa kali semasa membersihkan rumah mangsa. 

Paba mengeluarkan sebanyak S$18,000 daripada akaun bank warga tua itu dan mengambil S$500 setiap kali untuk 36 kali. 

Akaun bank itu dikongsi mangsa dan anak perempuannya. Anak perempuan mangsa mendapat tahu wang dikeluarkan daripada akaun itu secara konsisten dan bertanya mangsa. 

Mangsa kemudian bersemuka dengan Paba, yang mengaku mencuri kad dan mengeluarkan duit. Anak lelaki mangsa menghubungi polis pada Januari 2022 dan berkata bahawa pembantu rumahnya itu mengambil duit ibunya dan melarikan diri. Wang yang dicuri tidak dapat dikembalikan. 

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama empat hingga enam bulan untuk salah satu tuduhan mencuri dan membiarkan mahkamah memutuskan hukuman bagi tuduhan lain. Beliau berkata bahawa jumlah S$18,000 yang dicuri itu adalah jumlah yang tinggi dan terdapat pecah amanah yang berterusan. 

Walaupun Paba tidak mempunyai sejarah jenayah yang lain, dia tidak boleh dianggap sebagai pesalah kali pertama, kata pihak pendakwa. 

Semasa merayukan kes, Paba memohon maaf dan merayu untuk hukuman yang lebih ringan. 

Atas kesalahan mencuri di tempat tinggal, Paba boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda. 

Atas kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan