Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dijel 8 bulan dera budak lelaki 3 tahun kerana tidak mahu tidur

 Seorang pembantu rumah berusia 31 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan pada Jumaat (17 Apr) kerana menyakiti anak majikannya berusia tiga tahun. Dia didakwa menampar, menolak dan bertindak kasar semasa mendodoikannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dijel 8 bulan dera budak lelaki 3 tahun kerana tidak mahu tidur

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 17 Apr 2020 07:02PM Dikemas Kini : 17 Apr 2020 07:04PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 31 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan pada Jumaat (17 Apr) kerana menyakiti anak majikannya berusia tiga tahun. Dia didakwa menampar, menolak dan bertindak kasar semasa mendodoikannya.

Mesias Richel Rizada, seorang warga Filipina, mula bekerja dengan ibu bapa kanak-kanak itu pada Disember 2018. Dia tidur bersama kanak-kanak itu setiap malam pada hari-hari biasa.

Perbuatan kasarnya antara pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam pada 22 Ogos tahun lalu, dirakam kamera pengawasan yang dipasang di rumah majikannya.

Ibu bapa kanak-kanak lelaki itu tidak berada di rumah dan nenek kanak-kanak itu, yang datang menziarahi mereka antara Jun hingga September tahun lalu, tidak berada di dalam bilik semasa insiden itu berlaku.

Rakaman video terbabit menunjukkan nenek kanak-kanak tersebut meninggalkan bilik itu selesai membaca buku cerita dan bermain dengannya.

Rizada kemudian mencampak kanak-kanak itu dari hujung katil ke bahagian kepala katil.

Apabila kanak-kanak itu merehatkan kepalanya pada tubuh Rizada, dia menolak kanak-kanak berkenaan dengan kasar.

Rizada juga memukul bahagian belakang budak itu, menarik kaki dan pindahkannya secara agresif ke bahagian kepala katil.

Apabila kanak-kanak itu bangun sekali lagi untuk bermain dengan mainannya, Rizada memukul bahagian belakangnya dan kemudian menggunakan kakinya untuk menolak budak tersebut ke katil.

Dalam satu ketika, apabila kanak-kanak itu bangun untuk mengambil bantal peluknya, Rizada memegang lehernya dan menekan muka budak berkenaan di katil.

Rizada kemudian menepuk kanak-kanak itu untuk mendodoikannya. Bagaimanapun tidak lama kemudian, dia mula menampar pipi budak tersebut.

Rizada juga memukul kepala budak tersebut, memegang bahu dan mencampaknya ke atas katil apabila kanak-kanak itu merangkak menghampirinya ketika dia sedang menggunakan telefon bimbit.

Dia kemudian memegang dagu budak tersebut dan menamparnya lagi sekali.

Pada saat itu, kanak-kanak tersebut mula menangis.

Oleh kerana dia tahu ibu bapanya baru pulang ke rumah, dia menamparnya sekali lagi untuk memaksanya budak itu diam.

Dia terus mendera kanak-kanak itu, termasuk memukulnya dengan patung mainan meskipun dengan kehadiran ibu bapa budak itu di rumah.

Dia hanya berhenti apabila ibu bapa kanak-kanak itu masuk ke bilik itu.

Atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak, Rizada boleh dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dan/atau didenda sehingga S$4,000. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan