Amah dihukum penjara atas kesalahan bigami selepas bernikah di Batam dengan lelaki SG sudah beristeri
Seorang amah yang menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin di Singapura, membuat keputusan untuk pergi ke Batam, Indonesia bersamanya untuk bernikah.
Bangunan Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Komariah, seorang wanita warga Indonesia berusia 50 tahun, yang hanya menggunakan satu nama, berbuat demikian kerana pernikahan itu membolehkannya untuk mendapatkan pinjaman perumahan di Batam.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengesan perkahwinan tidak sah itu dan merujuknya kepada polis, yang kemudian menyiasat dan memberkas pasangan tersebut.
Komariah dijatuhi hukuman penjara dua bulan pada Rabu (6 Mei), iaitu tempoh yang sama seperti hukuman yang dikenakan pada bulan lalu ke atas suaminya, warga Singapura berusia 61 tahun, Low Kok Peng.
Wanita yang direman itu mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dalam bigami di bawah Piagam Wanita.
Satu lagi tuduhan kerana melanggar syarat pas kerjanya dengan berkahwin dengan seorang warga Singapura tanpa kelulusan terlebih dahulu turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
RENTETAN KES
Mahkamah diberitahu bahawa Low berkahwin dengan isteri pertamanya, seorang wanita warga Singapura yang kini berusia 55 tahun, pada 1992. Mereka mempunyai seorang anak perempuan.
Pada 2016, Low diperkenalkan kepada Komariah oleh seorang kenalan dan mereka memulakan hubungan cinta.
Komariah bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura dengan permit kerja.
Pada 2024, pasangan itu pergi ke Batam dan melangsungkan pernikahan secara Islam, dan dinikahkan oleh seorang kadi yang diatur oleh Komariah melalui saudara-maranya.
Mereka ke sana untuk bernikah kerana mengetahui Low tidak boleh berkahwin untuk kali kedua di Singapura.
Pendakwa berkata Komariah mengetahui pada masa itu bahawa isteri pertama Low masih hidup, namun tetap berkahwin dengannya kerana ia membolehkannya untuk mendapatkan pinjaman perumahan.
Selepas berkahwin, pasangan itu kembali ke Singapura, di mana Low terus tinggal bersama isteri pertamanya. Wanita itu tidak mengetahui tentang perkahwinan kedua tersebut.
MOM memberitahu Mediacorp bahawa ia menerima maklumat berhubung kes bigami itu pada Januari 2026 dan merujuknya untuk siasatan.
Permit kerja Komariah sudah dibatalkan, kata jurucakap MOM.
Perkahwinan tidak sah itu belum dibatalkan.
Timbalan Pendakwa Raya Ryan Lim memohon hukuman sekurang-kurangnya dua bulan penjara, dengan menyatakan bahawa Komariah bersalah sama seperti Low.
Beliau berkata perkahwinan itu merupakan satu “langkah yang dirancang” untuk memenuhi kepentingannya sendiri, dan diusahakannya secara aktif.
Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Komariah memohon hukuman lebih ringan dengan menyatakan bahawa dirinya merupakan pencari nafkah tunggal dan perlu menyara ibu bapanya yang sudah tua.
Bagi kesalahan bersubahat dalam bigami, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.