Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah didapati tidak bersalah cakar kaki bayi, potong puting botol susu

Anggaran Waktu Membaca:
Amah didapati tidak bersalah cakar kaki bayi, potong puting botol susu

Nenti. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 25 tahun didapati tidak bersalah pada Jumaat (21 Jan) menganiaya bayi perempuan majikannya dengan mencakar bahagian kaki dan menggunting puting dua botol susu dengan niat menyebabkan bayi itu tersedak.

Hakim daerah John Ng mendapati bahawa pihak pendakwa tidak membuktikan kes terhadap Nenti, melebihi keraguan yang munasabah. Tiada bukti kukuh tentang insiden yang didakwa berlaku itu dan tidak jelas sama ada ia berlaku, menurutnya.

Warga Indonesia itu mengaku melakukan kesalahan-kesalahan tersebut dalam kenyataan polis, tetapi kemudian menarik balik pengakuannya dan berkata dia hanya mengaku supaya siasatan selesai cepat agar dia dapat pulang awal.

Hakim menekankan bahawa pihak polis tidak memaksanya untuk mengaku, tetapi ia "tidak sukar untuk percaya" bahawa dia membuat tanggapan sendiri. Rakaman CCTV yang diserahkan sebagai bukti juga tidak mencukupi.

Nenti dibebaskan daripada satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bayi dan dua tuduhan melakukan perbuatan nakal.

Selepas perbicaraan mahkamah, dia menangis sambil ditemani oleh kakitangan dari kedutaan Indonesia di sini. Kemudian, dia memberitahu para wartawan menerusi jurubahasa Bahasa Indonesia bahawa dia bersyukur kepada Tuhan kes itu sudah selesai.

Dia diwakili atas dasar pro bono oleh peguam bela Josephine Costan dari firma guaman David Nayar and Associates.

TIADA BUKTI KUKUH DARIPADA RAKAMAN CCTV

Pada Jumaat, hakim tersebut menggariskan butiran kes dan sebab beliau membebaskan Nenti.

Para majikan Nenti, kedua-duanya penjawat awam, menggajikannya pada hujung Julai 2019 untuk menjaga anak perempuan mereka dan melakukan kerja-kerja rumah. Dia adalah pembantu rumah pertama mereka.

Bayi perempuan itu berusia empat bulan apabila ibu bapanya menuduh Nenti menderanya di flat HDB mereka di Punggol Drive pada Ogos 2019. Ini sejurus setelah pembantu rumah itu mula bekerja dengan mereka.

Bapa bayi perempuan itu berkata semasa perbicaraan bahawa isterinya memaklumkan kepadanya mengenai kesan calar pada bahagian kaki anak mereka. Mereka tidak mengesyaki sesiapa kecuali Nenti.

Apabila Nenti ditahan polis, ibu bapa tersebut menyemak semula rakaman CCTV di rumah mereka dan terlihat beberapa rakaman menunjukkan Nenti memegang botol-botol susu bayi. Dia sedang memicit puting itu semasa memasang botol-botol tersebut.

Pasangan itu kemudian mendapati lubang puting pada dua botol susu bayi mereka sudah "menjadi besar", dan mengesyaki bahawa ia sudah dipotong.

Bagaimanapun, Hakim Daerah Ng mendapati bahawa kemungkinan puting itu sudah rosak kerana kerap digunakan tidak boleh dikecualikan.

Rakaman CCTV yang menunjukkan Nenti memegang puting itu "bukan bukti kukuh" bahawa dia melakukan kesalahan-kesalahan dan ibu bapa kanak-kanak itu tidak mengadu bahawa anak mereka tersedak susu. Mereka hanya berkata demikian setelah melihat rakaman tersebut, tambah Hakim Daerah Ng.

Bagi insiden menggaru, hakim itu berkata bahawa Nenti pada mulanya memberitahu pegawai polis bahawa dia mungkin secara tidak sengaja tergaru kaki kanak-kanak itu apabila dia memegangnya pada 25 Ogos 2019.

Tiada sebarang insiden berbahaya berlaku dalam rakaman video dan "menunjukkan semuanya agak biasa," kata hakim.

Mereka yang didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya.

Mereka yang didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan nakal boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan