Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dibicarakan kerana cakar kaki bayi 4 bulan; potong puting botol susu

Seorang pembantu rumah berusia 25 tahun dibicarakan di mahkamah pada Isnin (16 Ogos) atas tuduhan dia mendera bayi majikannya dengan mencakar kaki bayi perempuan itu dan memotong hujung dua puting botol susu dengan niat menyebabkan bayi itu tersedak.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dibicarakan kerana cakar kaki bayi 4 bulan; potong puting botol susu

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 17 Aug 2021 08:29AM Dikemas Kini : 17 Aug 2021 08:31AM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 25 tahun dibicarakan di mahkamah pada Isnin (16 Ogos) atas tuduhan dia mendera bayi majikannya dengan mencakar kaki bayi perempuan itu dan memotong hujung dua puting botol susu dengan niat menyebabkan bayi itu tersedak.

Nenti berdepan dengan satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap seorang bayi dan dua tuduhan melakukan perbuatan nakal.

Warga Indonesia itu diwakili oleh peguam bela Josephine Costan dari firma guaman David Nayar and Associates.

Bayi perempuan itu berusia empat bulan ketika Nenti dipercayai menderanya di sebuah flat di Punggol Drive pada Ogos 2019.

Bapa bayi itu yang merupakan saksi pertama pihak pendakwa, memberikan keterangannya pada Isnin tentang apa yang beliau dan isterinya ternampak dalam masa seminggu setelah Nenti mula bekerja dengan mereka.

Pasangan itu - kedua-duanya pegawai perkhidmatan awam - menggajikan Nenti pada lewat Julai 2019 untuk menjaga anak perempuan mereka dan melakukan kerja rumah. Tertuduh adalah pembantu rumah mereka yang pertama.

Bapa bayi perempuan itu berkata bahawa Nenti diberi makan tiga kali sehari dan tidak memiliki telefon bimbit, namun mereka memberikannya telefon untuk menghubungi keluarganya di Indonesia jika dia mahu berbuat demikian.

KEJADIAN MENCAKAR

Lelaki itu turut berkata bahawa pada lewat petang 7 Ogos 2019, beliau sedang dalam perjalanan pulang dari kerja apabila isterinya menelefonnya untuk memberitahu beliau bahawa isterinya itu ternampak kesan cakar pada kaki anak mereka.

Apabila beliau tiba di rumah, beliau melihat kesan cakar "lebih jelas pada bahagian bawah kaki kanan" di atas buku lali bayi perempuan itu serta kesan cakar lebih ringan pada kaki kiri.

"Saya boleh katakan bahawa ia dilakukan pada hari yang sama kerana kesan cakar masih kemerah-merahan. Ia bukan seperti terdapat darah kering pada bahagian itu," katanya.

Beliau menanya Nenti jika dia ternampak kesan cakar itu dan jika dia melakukannya, secara sengaja ataupun tidak. Dia menafikan melakukan perbuatan itu.

Pasangan itu juga tertanya-tanya jika anak mereka yang mencakar kakinya sendiri. Namun apabila mereka membawa anak mereka berjumpa dengan seorang pakar pediatrik pada hari yang sama, doktor itu memberitahu mereka bahawa tidak mungkin bayi itu boleh mencapai kakinya sendiri pada usia itu.

Bapa bayi itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan isterinya membangkitkan kemungkinan berlaku penderaan fizikal dan doktor itu kemudian merujuk mereka kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Pasangan itu tidak boleh tidur pada malam itu dan mereka kemudian memutuskan untuk membawa bayi mereka ke hospital dengan serta-merta.

Mereka juga memutuskan untuk menghubungi polis.

Para pegawai tiba pada kira-kira pukul 3.00 pagi dan mereka bercakap dengan Nenti sebelum membawanya pergi. Pasangan itu juga membawa anak perempuan mereka ke KKH.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Samuel Chew bertanya lelaki itu siapakah yang beliau rasa akan menyebabkan kesan cakar itu.

Beliau menjawab: "Berdasarkan penilaian saya, memandangkan saya tidak berada di rumah pada waktu itu dan anak perempuan saya tidak boleh mencapai bahagian bawah kakinya, dan isteri saya tidak melakukan perbuatan itu... Jika anda juga ingin menimbangkan sama ada anjing peliharaan kami boleh mencapai anak kami, ia tidak mungkin berlaku kerana anak saya berada di katilnya. Saya akan katakan hanya seorang saja, iaitu Nenti.

"Itulah sebabnya isteri saya dan saya mempunyai kecurigaan dan mengesyaki dia yang melakukan perbuatan itu."

Anjing peliharaan keluarga itu, iaitu spesis campuran maltese-shih tzu, tidak mempunyai ketinggian untuk mencapai katil bayi tersebut yang juga mempunyai pegangan tangan di sekelilingnya, jelasnya.

BOTOL SUSU

Bapa bayi itu turut memberi keterangan bahawa setelah Nenti meninggalkan rumah mereka, mereka menemui dua puting botol susu bayi yang "kelihatan besar" dan beliau mengesyaki lubangnya sudah dipotong.

"Ia bukanlah satu kecacatan pembuatan kerana jenama itu sendiri terkenal bagi produk-produk keluarannya," katanya lagi.

"Setelah bergelar bapa selama dua tahun dan anak perempuan saya masih menggunakan jenama yang sama sehingga sekarang - kami juga sudah beberapa kali menukar puting botol susu itu - saya tidak pernah melihat kejadian seperti itu."

Pihak pendakwa memainkan dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bahagian dapur rumah pasangan itu yang menunjukkan Nenti sedang memegang botol-botol susu bayi.

Rakaman CCTV menunjukkan pembantu rumah itu "memeriksa dengan teliti dan memicit" puting botol itu ketika memasang botol susu itu, menurut bapa bayi berkenaan sambil menambah ia bukan sesuatu yang diajar oleh beliau mahupun isterinya.

"Pada pendapat saya, jika anda memasang kesemuanya... Pendapat kami adalah dia melakukan sesuatu pada bahagian hujung puting botol itu. Maka itu, semasa memasang botol-botol itu, dia juga sedang memeriksa botol yang mana satu mempunyai puting yang sudah dipotong," katanya.

Apabila DPP Chew bertanya mengapa perkara itu membimbangkan mereka, beliau menjawab bahawa puting botol susu direka sedemikian rupa untuk mengawal pengaliran susu bagi kanak-kanak dan "mengelakkan mereka daripada tersedak".

Perbicaraan kes itu diteruskan pada lewat Isnin dengan peguam Nenti melakukan soal jawab terhadap bapa bayi itu.

Jika didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja, pembantu rumah itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Jika didapati bersalah atas perbuatan nakal, dia boleh dihukum penjara sehingga setahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan