Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah di SG adu kerja dari 5.30 pagi hingga 11.00 malam tanpa rehat

Sesetengah amah yang bekerja di Singapura boleh dikatakan bernasib baik kerana mendapat majikan yang baik dan memahami.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sesetengah amah yang bekerja di Singapura boleh dikatakan bernasib baik kerana mendapat majikan yang baik dan memahami.

Namun tidak semua yang bertuah.

Seorang pembantu rumah hijrahan yang bekerja di Singapura, Ria (bukan nama sebenar) baru-baru ini memuat naik gambar yang menunjukkan senarai tugas yang perlu dilakukan.

Gambar dimuat naik ke laman Facebook milik Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Migran (HOME), iaitu sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang memperjuangkan hak pekerja hijrahan.

Catatan itu mengundang kemarahan ramai netizen.

Senarai tugas harian Ria, yang dicetak pada sekeping kertas A4, memerlukannya mula bekerja seawal 5.30 pagi dengan menyiapkan kopi untuk majikannya.

Ini disusuli dengan pelbagai kerja rumah lain termasuk menyapu dan mop lantai ruang tamu dan tempat letak kereta, membasuh pakaian, membantu para majikannya membuat persiapan ke tempat kerja, membersihkan tandas dan kawasan lain di dalam rumah, menyembur ubat serangga dan memasak.

Beliau hanya dapat berehat selepas menyelesaikan tugas terakhir pada jam 11.00 malam.

Terdapat juga senarai tugas tambahan yang perlu dilakukan, seperti yang tercatat di bawah jadual tersebut.

Sebagai contoh, beliau perlu menukar cadar dan membersihkan almari pada setiap Sabtu.

Beliau juga harus membersihkan beberapa barang milik majikannya seperti basikal dan beg gimnasium pada setiap bulan.

Masa untuk menyelesaikan setiap tugas juga ditetapkan untuk Ria.

Lebih mengejutkan lagi, senarai itu tidak menetapkan bila Ria boleh berehat, makan atau mandi.

Menurut HOME, Ria mengadu bahawa beliau berasa sangat letih kerana terpaksa mengikuti jadual itu setiap hari.

Ria juga tidak dapat berehat secukupnya pada hari cutinya sedangkan beliau hanya diberikan satu hari sedemikian pada setiap bulan.

"Beliau hanya dapat keluar rumah pada jam 10.00 pagi selepas selesai melakukan kerja rumah dan perlu pulang sebelum jam 4.00 petang untuk sambung kerja-kerja rumahnya," menurut HOME.

Netizen tempatan umumnya terkejut apabila mereka melihat jadual Ria, dengan ramai yang bersetuju bahawa aturan sebegitu "keterlaluan bagi sesiapa sahaja" dan telah merampas "hak asas" Ria.

"(Andai sahaja) pekerja-pekerja Singapura diberikan layanan seperti itu oleh majikan mereka... baru mereka akan tahu bagaimana untuk menjadi lebih bertimbang rasa," tulis seorang netizen.

Jadual harian yang padat ternyata bukan perkara 'tidak biasa' bagi amah di Singapura.

Menurut seorang amah, majikannya akan "marah" jika beliau terlupa melaksanakan beberapa tugas, tetapi beliau perlu mengingatkan majikannya setiap bulan untuk membayar gajinya.

Menurut laporan CNA, terdapat majikan yang malah cuba mengehadkan jumlah makanan yang diberikan kepada amah mereka.

HOME telah menggesa agar pembantu rumah hijrahan disertakan dalam Akta Pekerjaan, di mana waktu kerja mereka diselia di bawah syarat-syarat yang adil - sama seperti pekerja lain.
Sumber : 8 Days/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan